Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLabu – Sekumpulan 30 mahasiswa dari KPJ Healthcare University (KPJU) telah terlibat dalam aktiviti Kempen Kesihatan Malaysia MADANI 2025 yang memberikan manfaat kepada penduduk orang asli Kg. Tekir Labu bertempat di Sekolah Kebangsaan Tekir, Negeri Sembilan pada semalam.
Aktiviti ini yang dianjurkan oleh KPJU bersama-sama pejabat Parlimen Rasah dan penduduk orang asli Kampung Tekir Labu, Negeri Sembilan telah dihadiri oleh 100 orang penduduk setempat termasuk murid dari Sekolah Kebangsaan Tekir.

Perasmian program disempurnakan oleh Ahli Parlimen Rasah, YB Tuan Cha Kee Chin dan dihadiri oleh Pemangku Naib Canselor KPJU, Profesor Madya Tuan Haji Mohd Izham Mohd Zain serta Tok Batin Kg. Tekir Labu, Ramli bin Taka.
Aktiviti ini bertujuan untuk memperkasakan pembudayaan hidup sihat dalam kalangan masyarakat orang asli.
YB Cha Kee Chin dalam ucapan perasmian berkata, program seperti ini adalah sangat wajar serta penting untuk dilaksanakan khususnya dalam kalangan masyarakat orang asli.
Ujar beliau,
Program ini bertujuan mendidik masyarakat orang asli tentang cara menjaga kesihatan mereka.
Tambah beliau lagi,
Kerjasama antara pelbagai pihak adalah sangat penting bagi memastikan mesej tentang kehidupan sihat sampai kepada semua lapisan masyarakat, khususnya masyarakat orang asli yang mungkin kurang mendapat akses kepada maklumat kesihatan.
Tok Batin Kg. Tekir Labu turut menyatakan perasaan gembira dan berbesar hati dengan penganjuran aktiviti seperti ini di kampungnya.
Ujar beliau,
Kesatuan dan aktiviti fizikal ialah kunci kepada kesejahteraan masyarakat kita. Melalui aktiviti ini, kita bukan sahaja memperkukuh ikatan persaudaraan, tetapi juga membina tubuh yang sihat untuk masa depan yang lebih cerah.
Dua orang pakar kesihatan dari KPJU, iaitu Profesor Ts. Dr. Norhayati Mohd Zain dan Profesor Dr. Rashidi Ahmad telah menyampaikan ceramah kesihatan.

Aktiviti senaman ringkas, pemeriksaan kesihatan asas percuma serta ruang pameran kempen kesedaran tentang pelbagai penyakit juga turut ditawarkan oleh pihak KPJU kepada para pengunjung yang hadir.

Masyarakat setempat memberikan sambutan yang sangat menggalakkan serta menunjukkan minat yang tinggi untuk memahami dengan lebih lanjut tentang penjagaan kesihatan dengan berinteraksi secara aktif dalam pameran kesihatan tersebut.
Menurut seorang daripada peserta aktiviti, informasi yang dikongsikan sepanjang program adalah sangat bermanfaat dan membuka minda masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan. Beliau berharap agar aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Kejayaan program ini membuktikan wujudnya kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan dalam kalangan masyarakat orang asli di Malaysia, khususnya di kampung ini.