Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Fisioterapi dari Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA) menganjurkan sambutan Hari Fisioterapi Sedunia bertempat di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Program ini bertemakan “Low Back Pain: Back in Action, No Pain Distraction” untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan untuk kembali aktif bagi merawat sakit belakang selain membawa mesej penting bahawa aktiviti fizikal dan pergerakan adalah kaedah yang efektif dalam merawat sakit belakang, bukan sekadar rehat atau ubat-ubatan semata-mata.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Prasiswazah, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, YBrs. Profesor Madya Dr. Mazlyfarina Mohamad yang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Program Fisioterapi kerana berjaya menganjurkan acara yang memberikan impak positif kepada masyarakat.
Beliau juga menekankan betapa pentingnya acara seperti ini diadakan secara berkala bagi mendidik orang ramai mengenai kesedaran kesihatan, terutamanya berkaitan sakit belakang yang sering dihadapi oleh pelbagai golongan usia.

Acara ini juga berjaya menarik lebih kurang 100 penyertaan orang awam untuk acara larian ria (fun run) yang diadakan untuk menggalakkan peserta untuk kekal aktif dan memberikan mesej bahawa pergerakan fizikal yang konsisten mampu membantu dalam mengurangkan masalah sakit belakang.
Program ini turut dimeriahkan dengan sesi senamrobik yang bukan sahaja melibatkan peserta yang mendaftar, malah menarik perhatian ramai pengunjung lain yang hadir ke tasik tersebut.

Penganjuran Hari Fisioterapi Sedunia ini juga disokong oleh beberapa penaja utama, termasuklah Medi LifeSport, Etiqa Sdn. Bhd., Persatuan Fisioterapi Malaysia, Posture Align, Advance Rehabcare Academy by Advance Medicare Services Sdn. Bhd., Good Morning Global Sdn. Bhd. dan pusat fisioterapi seperti Your Physio, Apple Physio Rehab dan Coliseum Rehab.
Penaja ini turut menyediakan reruai dan perkhidmatan percuma seperti pemeriksaan kesihatan serta rundingan fisioterapi untuk para pengunjung.
Program ini juga menampilkan pameran daripada organisasi dan persatuan yang berkaitan dengan fisioterapi dan kesihatan seperti Malaysian Physiotherapy Students Association (MPTSA), MediLifeSport (MLS) dan beberapa persatuan lain.
Selain itu, Persatuan Prader-Willy Syndrome turut menyertai program ini bagi menunjukkan solidariti mereka terhadap usaha yang dilakukan untuk meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat.



Turut hadir dalam program ini Presiden MPA, Profesor Madya Dr. Mohd Haidzir Abd Manaf.