Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Dalam usaha mempromosikan aspek keselamatan kimia dan memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai keperluan pematuhan terhadap perundangan berkaitan dengan keselamatan kimia, Hari Keselamatan Kimia (HKK) 2024 telah dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH–UKM) di Akademi Siber Teknopolis, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Penganjuran program ini adalah selaras dengan objektif Dasar Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Pekerjaan UKM untuk menyediakan sumber, sistem dan latihan yang mencukupi bagi meningkatkan kesedaran dan kompetensi pekerja untuk bekerja dengan selamat.
Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Kumpulan SeCHRA yang terdiri daripada wakil ROSH–UKM, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Farmasi dan Institut Penyelidikan Tenaga Suria.
“Para peserta diharapkan dapat memberikan sepenuh perhatian untuk memahami keperluan perundangan, terutamanya Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan agar persekitaran kerja yang kondusif dapat diwujudkan di UKM,” kata Timbalan Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH–UKM), YBrs. Profesor Madya Dr. Masli Irwan Rosli ketika merasmikan HKK 2024.

Program berkenaan bertujuan memperkasakan aspek keselamatan kimia dengan memberikan kefahaman kepada peserta mengenai perundangan yang melibatkan bahan kimia, pengurusan bahan kimia yang baik, kawalan dedahan risiko bahan kimia berbahaya kepada pengguna dan pengendalian tumpahan bahan kimia.
Selain itu, para peserta juga didedahkan dengan kepentingan pengurusan bahan kimia dan tindakan kawalan dedahan risiko bahan kimia berbahaya dalam menjalankan tugas di makmal dan diberikan tunjuk ajar mengenai langkah pembersihan tumpahan bahan kimia.
Program yang dianjurkan pada kali ini dihadiri oleh 60 orang peserta dari pelbagai pusat tanggungjawab dan jawatan, misalnya Pegawai Sains, Penolong Pegawai Sains, Juruteknologi Makmal Perubatan dan sebagainya.
Sesi perkongsian pertama dalam program tersebut dimulakan dengan ceramah “Keselamatan Kimia Menurut Perundangan” yang disampaikan oleh Pegawai Sains Kanan dari Fakulti Sains dan Teknologi, UKM, ChM. Noor Jannah Awang yang menerangkan tentang perundangan utama yang melibatkan bahan kimia, iaitu Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan) 2000 atau dikenali sebagai USECHH 2000 dan Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pelabelan dan Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia Berbahaya) 2013 atau dikenali sebagai CLASS 2013.

Sesi perkongsian kedua pula disampaikan oleh Pegawai Sains Kanan dari Fakulti Sains Kesihatan, UKM, ChM. Atiah Ayunni Abdul Ghani dengan ceramahnya yang bertajuk “Pengurusan Bahan Kimia” yang merangkumi enam topik pembentangan melibatkan bahan kimia, iaitu pembelian, penerimaan, pendaftaran, penstoran, pengendalian dan pengurusan sisa.

Seterusnya, sesi perkongsian ketiga adalah berkenaan dengan “Tindakan Kawalan Dedahan Risiko Bahan Kimia Berbahaya” yang merangkumi kawalan teknikal, kawalan pentadbiran dan kesiapsiagaan tindakan kecemasan telah disampaikan oleh Pegawai Sains Kanan, Institut Penyelidikan Tenaga Suria, ChM. Sharifah Nurain Syed Nasir.

Sesi perkongsian yang terakhir disampaikan oleh Pegawai Bomba Kanan I, Puan Noor Fazida Tina Mohamad Noor dari Unit Pasukan HAZMAT, Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Selayang tentang “Pengendalian Kecemasan: Tumpahan atau Pelepasan Bahan Kimia” dan fungsi utama Unit Pasukan HAZMAT, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
