Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – Persatuan Bakteria Asid Laktik Malaysia (MSLAB) telah menganjurkan bengkel dan simposium Malaysian Symposium on Lactic Acid Bacteria (MSLAB) 2024 yang pertama yang bertemakan “Updates on Probiotics, Its Roles in Nutrition and Industrial Growth Opportunity” yang menjadi medan perkongsian ilmu dalam bidang bakteria asid laktik yang sedang giat dan pesat dijalankan di Malaysia dan antarabangsa.
MSLAB 2024 yang berlangsung di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dianjurkan bersama-sama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Terengganu Malaysia (UMT), Universiti IMU dan Universiti MAHSA.
Dalam ucapan perasmian oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Profesor Dr. Zamberi Sekawi, beliau menekankan kepentingan kerjasama antara pelbagai bidang dalam penyelidikan bakteria asid laktik.
Usaha sama ini adalah selaras dengan Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi Negara (RDICE) untuk memacu penemuan saintifik, inovasi industri dan kemajuan ekonomi dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan serta sektor pertanian.

Pengerusi MSLAB, Profesor Dr. Foo Hooi Ling mengumumkan bahawa MSLAB 2024 merupakan satu daripada sidang kemuncak pada tahun 2024 yang dianjurkan oleh persatuan sempena sambutan ulang tahun ke-10.
“Sebagai ahli Federation of Societies for Lactic Acid Bacteria (AFSLAB), MSLAB mempromosikan penyelidikan dan pendidikan dalam bidang bakteria asid laktik,” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, beliau menekankan bahawa bakteria asid laktik penting dalam industri biotik dan suplemen kesihatan seperti meningkatkan sistem imun, memberikan kesan antikanser serta memperkenalkan konsep baharu seperti posbiotik dan paraprobiotik.
Sebelum itu, bengkel bakteria asid laktik yang bertajuk “Pencirian Strain Probiotik: Sifat dan Keselamatan” yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Leslie Than Thian Lung dari UPM telah diadakan sehari sebelum MSLAB 2024.
Bengkel tersebut mendedahkan teknik makmal secara praktikal dalam pencirian potensi serta penilaian keselamatan probiotik di samping membincangkan mengenai aplikasi klinikal probiotik bersama-sama Pakar Gastroenterologi dari USM, Profesor Dr. Lee Yeong Yeh.

MSLAB 2024 yang dihadiri oleh 62 orang peserta itu telah mengundang sebanyak 12 pakar tempatan dan antarabangsa dalam bidang bakteria asid laktik yang terdiri daripada sektor akademik, penyelidikan, industri dan agensi kerajaan, termasuklah pegawai dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) (NPRA) dan Program Keselamatan Dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Dalam program yang sama, forum yang bertajuk “Tren Terkini dan Masa Hadapan mengenai Probiotik, Prebiotik, Postbiotik dan Sinbiotik: Kemajuan Sains dan Teknologi” yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Kalavathy Ramasamy (UiTM) telah membincangkan mengenai perkembangan dan cabaran dalam bidang bakteria asid laktik.
Forum tersebut menampilkan ahli panel Profesor Dr. Lee Yeong Yeh (USM) yang memberikan pandangan mengenai kesihatan manusia, Profesor Dr. Loh Teck Chwen (UPM) yang menghuraikan tentang makanan dan pertanian, Profesor Dr. Foo Hooi Ling (UPM) mengenai bioteknologi, Chin Kok Tian dari industri, Karen Wong Yoke Sim dari NPRA, dan Puan Shazlina Mohd Zaini dari Kementerian Kesihatan.
Simposium ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran pihak industri seperti Angel Yeast Co., Ltd., My Myracle Sdn. Bhd., Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Copens Scientific (Malaysia) Sdn. Bhd. yang turut mengadakan pameran gerai mengenai produk berkaitan probiotik, postbiotik dan alat makmal.

Simposium ini turut menyediakan platform kepada pelajar pascasiswazah dari pelbagai universiti tempatan dan antarabangsa untuk berkongsikan hasil penyelidikan mereka melalui pembentangan lisan dan poster.
Selain itu, bagi mempromosikan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam, persatuan ini juga telah mengadakan cabaran TikTok yang mengajak para peserta untuk berkongsikan manfaat probiotik serta mempamerkan makanan dan resipi yang kaya dengan probiotik.