Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para penyelidik dalam penyelidikan kualitatif, Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (iCaRehab), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Bengkel Penyelidikan Kualitatif dan ATLAS.ti atau A Guide to Qualitative Research Analysis and ATLAS.ti.
Bengkel yang diketuai oleh YBrs. Dr. Hasherah Mohd Ibrahim itu berlangsung selama dua hari, bermula 25 Jun 2024 hingga 26 Jun 2024 dan disertai oleh 40 orang peserta dari dalam dan luar UKM.
“Bengkel seumpama ini meningkatkan keupayaan para peserta dalam merancang dan melaksanakan kaedah penyelidikan kualitatif dengan berkesan bagi menghasilkan penerbitan yang berimpak tinggi,” kata Dekan Fakulti Sains Kesihatan, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar ketika berucap dalam majlis perasmian bengkel tersebut.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh tiga orang pakar yang berpengalaman, iaitu YBrs. Dr. Mohd Muslim Md Zalli dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, YBrs. Dr. Dzalani Harun dari Program Terapi Cara Kerja iCaRehab, UKM dan Profesor Adjung, YBrs. Profesor Dr. Prue Mogan dari Monash University, Australia.
Ceramah bagi sesi pertama yang disampaikan oleh YBrs. Profesor Prue Mogan berkaitan dengan Designing and Conducting Focus Group Discussion (FGD) and In-Depth Interview serta Principles of Qualitative Data Analysis: Ensuring Validity and Reliability of Research Findings.
Selanjutnya, bengkel berkenaan disusuli dengan beberapa sesi taklimat mengenai penggunaan perisian ATLAS.ti yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Mohd Muslim Md Zalli.

Para peserta juga berpeluang mendengar ceramah mengenai Reporting Qualitative Study Findings yang menerangkan proses melaporkan hasil kajian penyelidikan kualitatif dengan cara yang sistematik dan efektif oleh YBrs. Dr. Dzalani Harun.

Hasil daripada penganjuran bengkel tersebut, pelbagai maklum balas yang sangat positif diterima daripada para peserta disebabkan oleh pendekatan yang interaktif, kandungan program yang relevan dan kos bengkel yang berpatutan.
