Diterbitkan pada 28 Jun 2024, 22:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para penyelidik dalam penyelidikan kualitatif, Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (iCaRehab), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Bengkel Penyelidikan Kualitatif dan ATLAS.ti atau A Guide to Qualitative Research Analysis and ATLAS.ti.

Bengkel yang diketuai oleh YBrs. Dr. Hasherah Mohd Ibrahim itu berlangsung selama dua hari, bermula 25 Jun 2024 hingga 26 Jun 2024 dan disertai oleh 40 orang peserta dari dalam dan luar UKM.

“Bengkel seumpama ini meningkatkan keupayaan para peserta dalam merancang dan melaksanakan kaedah penyelidikan kualitatif dengan berkesan bagi menghasilkan penerbitan yang berimpak tinggi,” kata Dekan Fakulti Sains Kesihatan, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar ketika berucap dalam majlis perasmian bengkel tersebut.

Dekan Fakulti Sains Kesihatan, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar bersama-sama para peserta bengkel A Guide to Qualitative Research Analysis and ATLAS.ti.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh tiga orang pakar yang berpengalaman, iaitu YBrs. Dr. Mohd Muslim Md Zalli dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, YBrs. Dr. Dzalani Harun dari Program Terapi Cara Kerja iCaRehab, UKM dan Profesor Adjung, YBrs. Profesor Dr. Prue Mogan dari Monash University, Australia.

Ceramah bagi sesi pertama yang disampaikan oleh YBrs. Profesor Prue Mogan berkaitan dengan Designing and Conducting Focus Group Discussion (FGD) and In-Depth Interview serta Principles of Qualitative Data Analysis: Ensuring Validity and Reliability of Research Findings.

Selanjutnya, bengkel berkenaan disusuli dengan beberapa sesi taklimat mengenai penggunaan perisian ATLAS.ti yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Mohd Muslim Md Zalli.

YBrs. Dr. Mohd Muslim menunjukkan penggunaan perisian ATLAS.ti kepada peserta bengkel.

Para peserta juga berpeluang mendengar ceramah mengenai Reporting Qualitative Study Findings yang menerangkan proses melaporkan hasil kajian penyelidikan kualitatif dengan cara yang sistematik dan efektif oleh YBrs. Dr. Dzalani Harun.

Sesi ceramah mengenai Reporting Qualitative Study Findings oleh YBrs. Dr. Dzalani Harun.

Hasil daripada penganjuran bengkel tersebut, pelbagai maklum balas yang sangat positif diterima daripada para peserta disebabkan oleh pendekatan yang interaktif, kandungan program yang relevan dan kos bengkel yang berpatutan.

Profesor Adjung, YBrs. Profesor Prue Morgan (kanan) bergambar bersama-sama Pengerusi Pusat iCaRehab, FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Norazlin Mohd Nordin (kiri) dan Pengerusi Bengkel A Guide to Qualitative Research Analysis and ATLAS.ti, YBrs. Dr. Hasherah Mohd Ibrahim (tengah) sebagai tanda kenang-kenangan.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi