Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kangar – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Pemangku Raja Perlis Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan perasmian Tapak Nakawan Glamping di Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat dan menanam pokok Kelat pucuk merah untuk menjayakan program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.
Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Ag. Shaffie bin Ag. Ahmadni, Misi program ini adalah untuk mempromosikan Kempen Penghijauan Malaysia dengan mengadakan aktiviti penanaman pokok oleh peserta Kayuhan Hijau dan para sukarelawan di setiap hentian kayuhan di setiap negeri yang dilalui serta mempromosikan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.
Tambah beliau,
Antara misi lain termasuklah menggalakkan program memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional dengan mengadakan aktiviti perpaduan yang melibatkan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan Tabika Perpaduan di hentian terpilih.
Untuk rekod, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis turut menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Nadi Sihat, Kerajaan Negeri Perlis, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan-Jabatan Perhutanan Negeri, iaitu Negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah bagi menjayakan program ini.

Keberangkatan baginda tersebut adalah bersempena dengan program Jelajah Perpaduan Kayuhan Hijau sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Raja Perlis Ke-81 dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis 2024 yang diadakan pada 24 hingga 26 Mei 2024.