Diterbitkan pada 15 Jun 2026, 08:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seiring dengan perkembangan pesat teknologi dron dalam era Revolusi Industri 4.0, Jabatan Atom Malaysia (Atom Malaysia) telah menyertai Kursus Remote Pilot Certificate of Competency (RCoC-B) yang berlangsung pada 8 hingga 12 Jun 2026 di SG Academy Skills College Kuala Lumpur. Penyertaan ini merupakan langkah proaktif jabatan dalam memperkasakan keupayaan pegawai bagi menyokong pelaksanaan tugas yang lebih cekap, selamat dan berteknologi tinggi.

Menurut Encik Prabakar Sangappillai,

Sebagai seorang UAS Maintenance Controller, saya melihat pencapaian ini sebagai satu langkah besar untuk industri dron negara. SG Academy Skills College telah menjadi institusi pertama di Malaysia yang diberikan kelulusan untuk menjalankan program Sijil Kemahiran Dron (Teknologi Dron). Hal ini membuktikan kesungguhan kami dalam membangunkan bakat baharu dan menyediakan laluan yang jelas kepada peserta untuk membina kerjaya profesional dalam bidang teknologi dron.

Pemeriksaan prapenerbangan merupakan langkah penting bagi memastikan dron, persekitaran operasi dan aspek keselamatan berada dalam keadaan optimum sebelum penerbangan dilaksanakan.

Sepanjang kursus berlangsung, peserta didedahkan kepada pelbagai aspek teori dan praktikal pengendalian dron termasuklah peraturan penerbangan, pengurusan risiko, keselamatan operasi, navigasi udara, perancangan penerbangan serta latihan penerbangan sebenar di lapangan.

Peserta dari Atom Malaysia menjalani latihan penerbangan sebenar di lapangan.

Dalam mkoteks Atom Malaysia, penggunaan dron berpotensi memperkukuh pemantauan kawasan, tinjauan lokasi serta operasi kecemasan radiologi dan nuklear melalui keupayaan mendapatkan maklumat udara secara pantas dan tepat, sekali gus meningkatkan keberkesanan tindakan serta kesiapsiagaan jabatan dalam menghadapi situasi yang memerlukan respons segera.

Selain itu, penggunaan dron dapat meningkatkan kualiti rakaman udara (aerial footage) bagi tujuan dokumentasi program, liputan acara rasmi, penghasilan video korporat, bahan advokasi, dokumentari serta kandungan media sosial yang bukan sahaja memperkaya penyampaian maklumat, malah membantu memperkukuh imej Atom Malaysia kepada masyarakat.

Penyertaan dalam Kursus RCoC-B merupakan langkah strategik Atom Malaysia untuk melahirkan pegawai yang kompeten, bertauliah dan berkeupayaan mengendalikan dron secara profesional, selamat serta memiliki kompetensi dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM).

Para Peserta bergambar bersama dengan Encik Amir Haziq Saiful Rijal (RCoC – B Authorized Examiner), Encik Prabakar Sangappillai (UAS Maintenance Controller) dan Encik Adam Zulhikmi Mat Zuki (UAS Instructor) dalam majlis penyampaian surat pengesahan kompetensi RCoC-B.

Melalui pendedahan dan latihan yang diperoleh, Atom Malaysia berupaya memperluas penggunaan teknologi dron bagi menyokong operasi dan komunikasi strategik, sekali gus meningkatkan kecekapan pemantauan, memperkukuh operasi serta memastikan aspek keselamatan, sekuriti dan kawal selia terus terpelihara selaras dengan aspirasi pendigitalan sektor awam.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi