Diterbitkan pada 7 Mei 2026, 08:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nilai – Kreativiti mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terserlah apabila Persatuan Pandu Puteri Klover USIM (PPK USIM) menganjurkan Program Fesyen Hijau yang menampilkan rekaan busana dengan menggunakan bahan kitar semula, sekali gus memperkukuh kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar dalam kalangan peserta.

Program yang berlangsung di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM itu telah menyaksikan penyertaan sebanyak 58 orang ahli PPK USIM yang diberikan cabaran untuk menghasilkan busana kreatif dengan menggunakan bahan terpakai seperti surat khabar lama, plastik, botol, kotak dan majalah.

Aktiviti ini diadakan sebagai usaha untuk memberikan pendedahan kepada mahasiswa terhadap komponen Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-12, iaitu Penggunaan dan Pengeluaran Mampan bagi menggalakkan kecekapan sumber dan pengurusan sisa yang bertanggungjawab.

Ahli PPK USIM sedang menyediakan rekaan busana mereka.

Setiap kumpulan bukan sahaja menghasilkan rekaan busana yang bertemakan alam sekitar, malah turut memperagakan hasil ciptaan masing-masing serta membentangkan konsep rekaan dan pemilihan bahan yang digunakan.

Sesi pembentangan rekaan busana yang dihasilkan.

Program berkenaan bertujuan untuk memupuk kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar, di samping mengasah kreativiti peserta dalam mengolah bahan terbuang kepada rekaan yang mempunyai nilai estetika dan mesej kelestarian.

Jurulatih Pasukan, Puan Nurul Fathihin Mohd Noor Shah berkata, Inisiatif seperti ini membuka ruang kepada peserta untuk menilai semula potensi bahan yang sering dianggap tidak bernilai dan kreativiti itu lahir apabila manusia mampu melihat sesuatu yang biasa menjadi luar biasa.

Sementara itu, penilaian pertandingan dilakukan oleh Puan Norrufilzah Shahari dan Puan Siti Wahida Abd Wahab berdasarkan aspek kreativiti, kekemasan, kesesuaian tema serta keupayaan peserta menterjemahkan konsep fesyen hijau dalam rekaan masing-masing.

Puan Norrufilzah Shahari dalam ulasannya berkata, setiap kumpulan telah tampil dengan kreativiti tersendiri dan berjaya memenuhi kesemua kriteria yang ditetapkan dan aktiviti seumpama ini seharusnya tidak terhenti di dalam kelas sahaja, malah boleh digunakan dalam rutin seharian.

Sementara itu, Puan Siti Wahida Abd Wahab pula menyatakan bahawa pertandingan seperti ini wajar diteruskan kerana membuka ruang kepada mahasiswa untuk berfikir secara kreatif, inovatif dan lebih peka terhadap isu alam sekitar.

Tambahnya,

Program ini sememangnya dapat dijadikan sebagai platform pembangunan bakat kreatif dalam kalangan mahasiswa, di samping menyemai nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar secara lebih praktikal dan berterusan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi