Diterbitkan pada 6 Mei 2026, 16:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bintulu – Sesi libat urus pindaan Akta Tenaga Atom 1984 [Akta 304] Peringkat Zon Sabah dan Sarawak telah berlangsung di Promenade Hotel, Bintulu, Sarawak.

Menurut Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) dalam satu kenyataan, sesi libat urus tersebut adalah untuk memberikan penerangan tentang pindaan Akta 304 kepada pemegang taruh di Sabah dan Sarawak susulan penguatkuasaannya pada 1 Disember 2025.

Katanya,

Akta Tenaga Atom 1984 [Akta 304] yang dikuatkuasakan oleh Atom Malaysia merupakan undang-undang utama yang mengawal selia penggunaan aktiviti tenaga atom di Malaysia.

Setelah 41 tahun pelaksanaannya, pindaan akta ini telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 25 Ogos 2025 dan Dewan Negara pada 8 September 2025.

Jelasnya, pindaan ini bertujuan untuk memperkukuh kerangka undang-undang berkaitan dengan kawalan dan kawal selia aktiviti tenaga atom yang meliputi aspek keselamatan, sekuriti dan kawal guna, selaras dengan piawaian antarabangsa.

Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Atom Malaysia, YBrs. Puan Hajah Noraishah Pungut dan dihadiri oleh 100 orang peserta yang terdiri daripada pihak berkepentingan dalam kalangan pemegang lesen serta jabatan atau agensi kerajaan persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah, Kerajaan Negeri Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Melalui program seperti ini, pemahaman terhadap Akta 304 diharapkan dapat diperluas dan seterusnya memberikan manfaat kepada pemegang taruh merentas sektor.

Program ini merupakan satu daripada usaha berterusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk merakyatkan sains, menginsankan teknologi dan mengarusperdanakan inovasi.

Kerjasama erat antara badan kawal selia dengan pemegang lesen amat penting bagi memastikan aktiviti tenaga atom yang selamat, terjamin dan terkawal demi kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan kemakmuran negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi