Diterbitkan pada 6 Mei 2026, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Air merupakan keperluan asas dalam kehidupan manusia. Setiap hari, kita minum air untuk kekal sihat dan menjalani rutin harian. Air yang jernih sering dianggap bersih dan selamat. Namun demikian, di sebalik kejernihan tersebut, wujud satu ancaman yang semakin mendapat perhatian saintis di seluruh dunia, iaitu mikroplastik. Zarah plastik bersaiz sangat kecil ini kini dikesan dalam air minuman, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesannya kepada kesihatan manusia.

Mikroplastik

Mikroplastik merujuk zarah plastik bersaiz kurang daripada lima milimeter. Saiznya yang terlalu kecil menyebabkannya sukar dilihat dengan mata kasar, namun kehadirannya semakin meluas di persekitaran seharian. Mikroplastik boleh ditemui dalam pelbagai bentuk dan warna, bergantung pada jenis plastik asalnya. Walaupun kecil, zarah ini mampu tersebar dengan mudah melalui udara dan air, sekali gus memasuki ekosistem dan sumber air yang digunakan oleh manusia.

Mikroplastik terhasil terutamanya daripada pereputan plastik yang lebih besar seperti botol minuman, beg plastik dan pembungkus makanan. Plastik yang sering digunakan dan dibuang ini akan terdedah kepada faktor persekitaran dalam tempoh yang lama. Selain itu, mikroplastik juga boleh terhasil daripada produk harian yang digunakan secara rutin, seperti pakaian sintetik yang melepaskan gentian halus ketika dicuci serta bahan pembersih tertentu yang mengandungi zarah plastik kecil sebagai bahan tambahan.

Plastik yang dibuang ke alam sekitar tidak akan terurai sepenuhnya seperti bahan organik. Sebaliknya, plastik ini akan mengalami proses pemecahan secara berperingkat akibat pendedahan kepada cahaya matahari, tindakan air, haba dan pergerakan fizikal. Proses ini menyebabkan plastik menjadi semakin rapuh dan berpecah kepada cebisan yang lebih kecil. Cebisan inilah yang akhirnya dikenali sebagai mikroplastik dan boleh kekal dalam persekitaran untuk tempoh yang sangat lama, sekali gus meningkatkan risiko pencemaran terhadap sumber air dan kesihatan manusia.

Bagaimanakah mikroplastik memasuki air minuman?

Mikroplastik boleh memasuki sumber air melalui pelbagai cara yang sering berlaku tanpa disedari. Sungai dan laut yang tercemar dengan sisa plastik menjadi laluan utama zarah mikroplastik memasuki sistem air. Sisa plastik yang dibuang ke persekitaran akan terurai secara fizikal akibat pendedahan kepada cahaya matahari, arus air dan geseran, lalu menghasilkan cebisan plastik yang sangat kecil. Zarah ini kemudiannya terbawa bersama-sama aliran air dan memasuki sumber air mentah yang digunakan untuk kegunaan harian manusia.

Pencemaran plastik dan botol plastik di sungai menyumbang kepada kehadiran mikroplastik dalam air minuman.

Walaupun air mentah melalui proses rawatan sebelum disalurkan kepada pengguna, tidak semua mikroplastik dapat ditapis sepenuhnya. Zarah mikroplastik yang bersaiz sangat halus berpotensi melepasi sistem penapisan sedia ada dan kekal berada di dalam air yang kelihatan jernih. Keadaan ini menyebabkan pengguna terdedah kepada mikroplastik tanpa disedari, walaupun air tersebut telah dianggap selamat untuk diminum.

Selain air paip, sepanjang proses pembungkusan, penyimpanan dan pengangkutan air minuman di dalam botol juga dipercayai menyumbang kepada pembebasan zarah plastik ke dalam air. Geseran antara air dengan dinding botol plastik, terutamanya apabila terdedah kepada haba atau disimpan dalam tempoh yang lama boleh meningkatkan pelepasan mikroplastik. Di samping itu, penggunaan sistem paip air yang lama atau diperbuat daripada bahan tertentu juga berpotensi menjadi punca tambahan pencemaran mikroplastik dalam bekalan air minuman.

Kesan pendedahan yang berterusan

Kesan sebenar mikroplastik terhadap kesihatan manusia masih giat dikaji. Namun demikian, beberapa kajian awal menunjukkan bahawa pendedahan berterusan kepada mikroplastik berpotensi menimbulkan risiko kesihatan tertentu. Mikroplastik yang tertelan boleh memasuki sistem pencernaan dan mencetuskan tindak balas keradangan. Selain itu, mikroplastik bertindak sebagai “pembawa” kepada bahan kimia berbahaya dan mikroorganisma. Bahan toksik seperti logam berat dan bahan kimia industri boleh melekat pada permukaan mikroplastik. Apabila zarah ini masuk ke dalam tubuh manusia, zarah ini berpotensi mengganggu fungsi sel dan sistem badan. Terdapat juga kebimbangan bahawa mikroplastik yang bersaiz sangat kecil mampu menembusi tisu badan dan memasuki aliran darah. Walaupun bukti saintifik masih dikenal pasti, tetapi pendedahan jangka masa panjang terhadap zarah asing ini tidak boleh dipandang ringan.

Penyelidikan yang dijalankan secara bersama-sama oleh beberapa universiti di New Zealand juga menunjukkan bahawa mikroplastik berpotensi memainkan peranan dalam peningkatan risiko kanser kolorektum pada usia yang lebih awal. Walaupun kajian ini masih berada pada peringkat awal dan memerlukan penyelidikan lanjut, penemuan awal mencadangkan bahawa kehadiran mikroplastik dalam usus boleh mengganggu lapisan mukus kolon. Lapisan mukus ini berfungsi sebagai pelindung semula jadi kepada dinding usus dan gangguan terhadap fungsinya boleh mengurangkan tahap perlindungan tersebut. Keadaan ini berpotensi meningkatkan risiko kerosakan sel dan seterusnya menyumbang kepada perkembangan kanser kolorektum.

Air minuman merupakan sumber yang digunakan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur atau latar belakang. Pendedahan kepada mikroplastik mungkin berlaku setiap hari dalam jumlah kecil, namun kesannya boleh menjadi signifikan apabila berlaku secara berterusan dalam jangka masa panjang. Tambahan pula, kesedaran masyarakat mengenai mikroplastik masih rendah. Ramai yang beranggapan air yang telah dirawat atau dibotolkan sepenuhnya selamat. Hakikatnya, pencemaran mikroplastik merupakan isu global yang memerlukan perhatian semua pihak, termasuk pengguna dan juga industri. Isu ini juga berkait rapat dengan pencemaran alam sekitar. Penggunaan plastik secara berlebihan bukan sahaja menjejaskan ekosistem, malah memberikan kesan langsung kepada kesihatan manusia melalui rantaian makanan dan sumber air.

Langkah awal bagi mengurangkan pendedahan kepada mikroplastik

Walaupun sukar untuk mengelakkan mikroplastik sepenuhnya, beberapa langkah praktikal boleh diambil bagi mengurangkan tahap pendedahan dalam kehidupan seharian. Antaranya termasuklah mengurangkan penggunaan botol plastik sekali guna dan beralih kepada botol minuman yang boleh digunakan semula seperti botol kaca atau keluli tahan karat. Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan penghasilan sisa plastik, malah dapat meminimumkan risiko pembebasan zarah mikroplastik ke dalam air minuman.

Selain itu, penggunaan penapis air yang berkualiti di rumah boleh membantu menyingkirkan sebahagian zarah asing, termasuk mikroplastik daripada air minuman. Walaupun tidak semua penapis air mampu menyingkirkan mikroplastik sepenuhnya, langkah ini tetap memberikan perlindungan tambahan kepada pengguna. Amalan menyimpan air minuman di tempat yang tidak terdedah kepada haba berlebihan juga boleh membantu mengurangkan pembebasan mikroplastik daripada bekas plastik.

Pada peringkat masyarakat pula, amalan kitar semula dan pengurusan sisa plastik yang betul perlu diperkukuh secara berterusan. Usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, menggalakkan penggunaan bahan mesra alam serta meningkatkan kesedaran awam mengenai kesan pencemaran plastik amat penting. Dengan mengurangkan pencemaran plastik bukan sahaja membantu melindungi alam sekitar dan ekosistem air, malah turut menyumbang kepada keselamatan sumber air minuman demi kesejahteraan generasi akan datang.

Kesimpulan

Mikroplastik dalam air minuman merupakan ancaman baharu yang semakin mendapat perhatian dalam dunia sains dan kesihatan awam. Walaupun kesan jangka masa panjang pendedahan kepada mikroplastik masih dalam kajian dan penyelidikan berterusan, bukti awal yang ada sudah cukup untuk menuntut tindakan pencegahan awal. Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi melindungi kesihatan manusia, terutamanya apabila air minuman digunakan setiap hari oleh semua lapisan masyarakat.

Air yang selamat bukan sekadar jernih di mata, tetapi bebas daripada ancaman yang tidak kelihatan seperti mikroplastik. Kejernihan air tidak semestinya mencerminkan tahap keselamatannya. Oleh itu, kesedaran awam mengenai isu pencemaran mikroplastik perlu dipertingkatkan agar masyarakat lebih peka terhadap pilihan dan amalan harian yang boleh mengurangkan risiko pendedahan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi