Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJasin — Program STI 100³ anjuran Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah melabuhkan tirainya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi, Melaka dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti berteraskan sains, teknologi dan inovasi (STI) yang berjaya memberikan impak kepada pelajar dan guru.
Program ini merupakan inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang dilaksanakan bagi memperkukuh literasi STI dalam kalangan guru dan pelajar sekolah, seiring dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 serta aspirasi Malaysia MADANI.
Untuk Program STI 100³ di SMK Hang Kasturi ini, pelaksanaan program telah diselaraskan oleh YBrs. Dr. Haizum Ruzanna Sahar, yang merupakan antara 100 saintis terpilih yang dilantik oleh MOSTI di bawah inisiatif nasional STI 100³, selain merangkap Ketua Koordinator Program di lokasi berkenaan.
Sepanjang pelaksanaan program tersebut, para peserta telah mengikuti beberapa siri aktiviti yang dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan sesi Pengenalan dan Penerokaan Teknologi Realiti Maya (VR) pada 15 Disember 2025, diikuti dengan Eksplorasi Teknologi Nuklear pada 12 Januari 2026 serta Pertandingan Pengucapan Awam bertemakan “Nuklear untuk Rakyat” yang berlangsung pada 11 Februari lalu.
Ujarnya,
Pendekatan Program STI 100³ ini dibangunkan secara berfasa bagi memberikan pendedahan menyeluruh kepada pelajar, bermula dengan pengalaman imersif melalui teknologi VR, diikuti dengan penerokaan penggunaan sebenar teknologi nuklear dalam pelbagai sektor serta diakhiri dengan platform pitching yang bertujuan untuk melatih para pelajar berfikir secara kritis dan menyampaikan idea dengan yakin dan komprehensif.
Program berkenaan diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan serta Majlis Penutupan Rasmi Program STI 100³ di sekolah tersebut, dengan kehadiran lebih daripada 700 orang peserta.
Sebagai penutup, pelaksanaan program ini dilihat berjaya mencapai objektif dalam meningkatkan literasi STI, selain memahami penggunaan dan manfaat teknologi nuklear dalam kehidupan seharian.
Nuklear Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini dan inisiatif seumpama ini wajar diteruskan bagi melahirkan generasi muda yang celik sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.