Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Sesi ceramah bertajuk “The Roles and Characteristics of a Trainer” menjadi antara pengisian utama dalam “Workshop on Train the Trainer for Radiation Protection Officer (RPO)” yang berlangsung di Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan penekanan terhadap peranan kritikal jurulatih dalam memastikan penyampaian kepakaran teknikal keselamatan dan perlindungan sinaran secara berkesan serta memperkukuh pematuhan peraturan.
Ceramah yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Haizum Ruzanna Sahar menegaskan kepentingan tanggungjawab jurulatih dalam mentransmisikan ilmu teknikal secara sistematik, di samping membentuk standard profesional yang mampu menyokong budaya keselamatan sinaran dalam organisasi.
Sepanjang sesi tersebut, peserta yang terdiri daripada pegawai RPO sektor swasta dan industri didedahkan kepada aspek peranan, pembinaan karakter, keterampilan komunikasi strategik serta autoriti profesional, selain menekankan keupayaan menterjemah parameter teknikal yang kompleks kepada modul yang mudah difahami dan disesuaikan dengan tahap pengetahuan audiens serta keperluan operasi di lapangan.
Menurut beliau, kunci utama jurulatih RPO yang berkesan terletak pada keupayaan menghidupkan peranan melalui komunikasi yang jelas dan karakter yang meyakinkan kerana elemen tersebut penting dalam membentuk pemimpin yang komited terhadap keselamatan dan perlindungan sinaran serta memastikan keberkesanan penyampaian mesej di tempat kerja.
Untuk meningkatkan pelibatan peserta, pendekatan interaktif turut digunakan melalui teknik komunikasi berkesan, perbincangan kajian kes dan analisis situasi bagi merangsang pemikiran kritis dalam mendepani cabaran sebenar di lapangan.
Sesi ini dilihat berjaya memberikan pendedahan menyeluruh mengenai kepentingan peranan jurulatih dalam memastikan mesej keselamatan dan perlindungan sinaran disampaikan secara efektif, khususnya dalam persekitaran kerja yang menuntut tahap pematuhan yang tinggi.