Diterbitkan pada 3 April 2026, 09:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) melalui Pusat Kecemerlangan Nuklear berjaya menganjurkan “Workshop on Train the Trainer for Radiation Protection Officer (RPO)” selama tiga hari bermula pada 31 Mac 2026 hingga 2 April 2026 bagi memperkasakan jurulatih RPO dari sektor swasta dan industri dalam membudayakan keselamatan sinaran serta memastikan pematuhan perundangan yang efektif di organisasi masing-masing.

Sepanjang program berlangsung, para peserta dibimbing oleh gandingan penceramah multidisiplin Nuklear Malaysia, iaitu YBrs. Dr. Haizum Ruzanna Sahar, Puan Normazlin Ismail, Ts. Mohd Dzul Aiman Aslan, Encik Raymond Yapp Tze Loong dan Encik Mohd Fazlie Abdul Rashid dalam mengendalikan modul kritikal berkaitan dengan latihan.

Penganjuran bengkel tersebut disusun secara berperingkat yang dimulakan dengan pengukuhan kemahiran insaniah yang merangkumi teknik komunikasi berkesan, pembangunan karakter jurulatih serta penguasaan sistem sokongan latihan bagi memastikan keberkesanan penyampaian.

Program kemudiannya beralih kepada modul teknikal dan tanggungjawab hakiki dengan memberikan pendedahan menyeluruh mengenai peranan RPO di lapangan, asas perlindungan sinaran, teknik pengukuran, pemantauan kawasan, prosedur kecemasan radiologi serta aspek pematuhan dan audit perlindungan sinaran.

Fokus utama latihan ini adalah untuk memastikan setiap bakal jurulatih bukan sahaja menguasai aspek teknikal perlindungan sinaran, malah memiliki kredibiliti serta karakter yang kukuh dalam menyampaikan mesej keselamatan.

Sebagai kemuncak program, para peserta menjalani sesi latihan praktikal dan penilaian komprehensif bagi menguji serta mengesahkan tahap kompetensi sebelum majlis penutup disempurnakan oleh pihak urus setia pada hari terakhir, sekali gus membuktikan komitmen berterusan Nuklear Malaysia dalam memperkasakan pakar industri dengan standard keselamatan sinaran yang unggul dan berintegriti.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi