Diterbitkan pada 1 April 2026, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam pertempuran, dron digunakan secara meluas untuk peninjauan, perisikan, serangan tepat dan peperangan elektronik. Dron membolehkan serangan dilakukan dari jarak jauh tanpa juruterbang, menggugurkan bahan letupan, merempuh sasaran serta bertindak sebagai umpan. Penggunaan dron, terutamanya dron komersial yang diubah suai telah merevolusikan peperangan moden dengan mengurangkan kos serangan, namun meningkatkan keberkesanan taktikal di medan pertempuran.

Penggunaan belon udara panas tanpa pemandu yang dimuatkan dengan bahan letupan oleh tentera Austria untuk menyerang Venice pada tahun 1849 merupakan pengeboman udara pertama yang direkodkan menggunakan kenderaan tanpa pemandu. Ketika Perang Dunia Pertama, Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) membangunkan “bom terbang”, sebuah pesawat dwisayap berkipas yang dipandu menggunakan giroskop dan altimeter yang secara teorinya mampu terbang sejauh 50 batu mengikut laluan yang telah ditetapkan. Pesawat tersebut dilancarkan menggunakan lastik (catapult). Namun demikian, pesawat tanpa juruterbang itu tidak sempat digunakan dalam tugasan aktif.

Sebuah pesawat kawalan jauh Britain dari era Perang Dunia Pertama dibangunkan untuk latihan sasaran. Komponen kawalan jauh tersebut direka oleh Dr. Archibald Low. Pesawat tersebut menjadi dron pertama yang berjaya terbang di bawah kawalan apabila diuji pada Mac 1917. Pada tahun 1935, dron untuk latihan sasaran milik Britain, DH.82B Queen Bee, mula digunakan dalam perkhidmatan tentera.

Dron terus dibangunkan semasa Perang Dunia Kedua (1939 – 1945). Sebagai contoh, Operasi Anvil oleh Tentera Laut AS menggunakan pesawat pengebom B-24 kawalan jauh untuk mengebom sasaran di Jerman dan Perancis, walaupun banyak daripadanya terhempas atau meletup sebelum mengenai sasaran. Penggunaan dron sasaran juga semakin meluas semasa dan selepas perang. AS membangunkan Ryan Firebee, sebuah dron peninjauan yang digunakan untuk mengumpul data semasa Perang Vietnam (1955 – 1975). Dron ini digerakkan oleh enjin jet dan terbang mengikut laluan yang telah diprogramkan terlebih dahulu di kawasan musuh. Britain, Kesatuan Soviet dan beberapa negara lain turut meneroka teknologi dron sepanjang era Perang Dingin.

Dron menjadi semakin canggih sepanjang 1990-an seiring dengan perkembangan teknologi komputer serta sistem elektronik yang lain. AS menggunakan dron semasa Perang Teluk (1990 – 1991). Perang melawan keganasan yang diterajui oleh AS, termasuk pencerobohan Afghanistan (2001) dan pencerobohan Iraq (2003) menandakan permulaan era baharu peperangan dron. AS menggunakan dron secara meluas di kedua-dua negara tersebut. Dron seperti General Atomics MQ-1 Predator dan MQ-9 Reaper mampu melaksanakan misi peninjauan dan tempur. Dron MQ-1 Predator diperkenalkan pada tahun 1995, pada mulanya merupakan platform pengawasan yang kemudiannya dipersenjatai dengan peluru berpandu. MQ-9 Reaper pula adalah pengganti kepada Predator tetapi bersaiz lebih besar, pantas dan dilengkapi dengan pelbagai sistem persenjataan. Reaper berkeupayaan dalam melaksanakan serangan tepat, selain bertahan dalam misi jangka masa panjang.

Konflik abad ke-21 seperti perang Nagorno-Karabakh pada tahun 2020 antara Armenia dengan Azerbaijan serta perang Rusia – Ukraine (2022 – kini) turut menyaksikan penggunaan dron secara meluas. Ketika Perang Saudara Sudan yang meletus pada April 2023, kedua-dua pihak, iaitu Pasukan Tentera Sudan (SAF) dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) meningkatkan penggunaan dron dalam pertempuran. Berdasarkan analisis data daripada Armed Conflict Location and Event Data (ACLED), sebuah pemantau konflik bebas, sekurang-kurangnya 1003 serangan dron telah berlaku dari hari pertama perang pada 15 April 2023 hingga 23 Januari 2026.

Dron menjalankan pelbagai fungsi dalam medan pertempuran antaranya seperti berikut:

Peninjauan dan pengawasan

Dron digunakan untuk mengintip kedudukan musuh, melakukan pemetaan kawasan dan menyediakan data masa nyata tanpa merisikokan nyawa anggota tentera. Ketika pendudukan AS di Afghanistan (2001 – 2021), dron peninjau sangat penting untuk mengumpulkan maklumat risikan. Dron tersebut mempunyai kamera dan sensor beresolusi tinggi. Hal ini memberikan pandangan yang jelas kepada komander tentang rancangan dan pergerakan musuh. Maklumat tersebut membantu membuat keputusan yang lebih baik dan memastikan anggota tentera lebih selamat.

Serangan tepat

Dron yang dilengkapi dengan roket, peluru berpandu atau bom dapat memusnahkan sasaran bernilai tinggi seperti kenderaan perisai, sistem pertahanan udara dan infrastruktur strategik. Sebagai contoh, dalam Perang Saudara Sudan, Pasukan SAF menggunakan dron Bayraktar TB2 dari Turkiye yang dilengkapi dengan empat munisi berpandukan laser; Mohajer-6 (Iran) dan Zajil-3 (Iran) dilengkapi dengan bom berpandu tepat dan peluru berpandu antikereta kebal dan DJI MAVIC 3 (China) membawa satu hingga dua bom tangan. Pasukan RSF pula menggunakan dron Wing Loong II dari China yang dilengkapi dengan peluru berpandu laser, bom berpandukan laser dan bom antipersonel serta FH-95 Feihong (China) yang dilengkapi dengan bom berpandukan laser dan peluru berpandu antiradiasi.

Terdapat juga dron yang digunakan untuk merempuh sasaran atau kedudukan musuh. Dron tersebut sering dikenali sebagai dron kamikaze. Dron kecil yang dipasang dengan bahan letupan dan dikendalikan secara terus oleh operator untuk merempuh sasaran secara spesifik di persekitaran bandar, sering digunakan untuk serangan kos rendah tetapi berimpak tinggi. Pasukan RSF di Sudan menggunakan dron kamikaze Sunflower 200 buatan China.

Peperangan elektronik

Digunakan untuk mengganggu komunikasi musuh, menyekat radar dan melumpuhkan sistem navigasi. China sedang membangunkan dron peperangan elektronik yang maju, termasuk konsep Storm Eye, iaitu dron berpasangan mewujudkan ‘zon tenang’ elektromagnetik untuk mengganggu sistem musuh tanpa menjejaskan sistem mereka sendiri. Rusia menggunakan peperangan elektronik secara meluas untuk menangkis ancaman dron, termasuk penggunaan dron diperkukuh yang beroperasi dengan gentian optik bagi mengatasi gangguan.

Logistik dan perang saraf

Selain bahan letupan, dron digunakan untuk menggugurkan risalah bagi perang saraf atau menghantar bekalan logistik dalam situasi terkepung, terutamanya dron udara. TRV-150 merupakan dron kargo autonomi dengan keupayaan berlepas dan mendarat secara menegak yang direka untuk logistik di medan pertempuran. Dron ini mampu membawa sehingga 68 kg bekalan kritikal seperti peluru, kit perubatan dan makanan ke kawasan terpencil atau pertempuran. Dibangunkan oleh Malloy Aeronautics dan digunakan oleh Kor Marin serta Tentera Darat AS, sistem ini meningkatkan keselamatan dengan menggantikan konvoi berawak.

Selain di udara, terdapat juga dron darat. Di Ukraine, dron darat telah beroperasi di barisan hadapan untuk membawa senjata dan bahan letupan, melaksanakan pemasangan dan pembersihan periuk api dari jarak jauh, serta memindahkan tentera yang cedera keluar dari medan pertempuran. Tujuan utama penggunaan dron darat ini adalah untuk meminimumkan pelibatan pasukan tentera secara langsung di medan pertempuran, sekali gus menyelamatkan nyawa anggota tentera Ukraine.

Taktik serangan gerombolan dron (drone swarm)

Penggunaan pelbagai dron secara serentak dan banyak untuk mengatasi sistem pertahanan udara konvensional. China telah membuktikan bahawa seorang anggota tentera mampu mengendalikan 200 dron dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). Ujian dron tersebut dijalankan oleh Universiti Teknologi Pertahanan Kebangsaan bersama-sama Tentera Pembebasan Rakyat China.

Xiang Xiaojia, seorang penyelidik di Sekolah Sains Pintar, Universiti Teknologi Pertahanan Kebangsaan, menyatakan bahawa setiap dron dilengkapi dengan algoritma pintar. Melalui saling keterhubungan dan perundingan autonomi, dron ini mampu membentuk satu gerombolan kolaboratif pintar yang sangat berkuasa. Xiang menambah bahawa satu algoritma antigangguan autonomi telah dibangunkan dan diuji dalam persekitaran gangguan elektromagnetik, supaya walaupun berlaku gangguan, dron yang dilengkapi dengan teknologi tersebut masih dapat beroperasi dengan berkesan.

Setiap perubahan teknologi, sama ada besar atau kecil telah mempercepat penggunaan dron dalam bidang ketenteraan. Sensor dan pemproses yang kecil tetapi berkuasa membolehkan dron kekal stabil serta memproses data di udara, sambil semuanya dimuatkan dalam reka bentuk yang kompak. Modul GPS berketepatan tinggi yang mampu milik telah memberikan dron keupayaan untuk menetapkan laluan dan memetakan kawasan dengan ketepatan yang sangat tinggi, selain membolehkan ciri kembali ke titik asal (return-to-home). Penggunaan bateri litium-polimer (Li-Po) yang ringan secara drastik memanjangkan masa penerbangan dan meningkatkan nisbah kuasa kepada berat. Kemajuan dalam AI membolehkan dron mengelak halangan secara autonomi, menjejaki objek dan memberikan prestasi penerbangan yang lebih stabil.

Dron generasi seterusnya akan mengintegrasikan pembuatan keputusan oleh AI, sekali gus mengurangkan campur tangan manusia sambil meningkatkan kecekapan, ketepatan dan keupayaan bertindak balas secara masa nyata. Dron yang diintegrasikan dengan AI mampu menganalisis persekitaran, mengesan halangan dan melaraskan laluan penerbangan secara masa nyata dengan pengawasan minimum. Operator menumpukan perhatian kepada perancangan misi dan semakan data, manakala dron melaksanakan penerbangan secara autonomi, termasuk dalam persekitaran yang kompleks. Keupayaan ini semakin digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat, pemeriksaan industri serta pemantauan keselamatan. Autonomi dron yang dipacu oleh AI akan mentakrifkan semula operasi dron, menjadikan dron lebih berdikari, sangat responsif dan berkeupayaan mengendalikan misi yang kompleks dengan pengawasan minimum.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi