Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Malaysia merupakan satu daripada 17 negara yang kaya dengan biodiversiti di dunia. Satu daripada habitat penting kepada lebih daripada 800 spesies burung di Malaysia ialah hutan hujan tropika termasuk di Hutan Simpan Mersing, Johor.

Burung merupakan satu daripada kumpulan vertebrata yang berkebolehan untuk terbang di udara lantas memainkan pelbagai peranan penting dalam ekosistem hutan ini seperti penyebaran biji benih, agen pendebungaan dan kawalan populasi serangga. Antara kumpulan burung yang amat penting dalam sesebuah ekosistem termasuklah burung pemakan serangga. Kumpulan burung ini bertindak sebagai pengawal semula jadi yang membantu mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan.

Bagi membolehkan burung pemakan serangga memburu mangsa yang kecil dan pantas, burung ini mempunyai pelbagai ciri morfologi dan keupayaan yang unik. Antaranya termasuklah mempunyai paruh yang lebih halus dan tajam untuk memudahkan mereka menangkap atau memungut serangga daripada daun, batang pokok atau di udara. Selain itu, mereka juga mempunyai keupayaan untuk terbang dengan lincah serta memiliki penglihatan yang tajam bagi membolehkannya mengesan dan mengejar serangga dengan cekap.

Terdapat beberapa teknik yang digunakan oleh burung pemakan serangga untuk mendapatkan makanan. Antaranya termasuklah teknik mengutip atau lebih dikenali dengan istilah gleaning, iaitu menangkap serangga yang terdapat di permukaan daun, kulit pokok, batu dan juga tanah. Semasa mencari serangga, burung yang menggunakan teknik ini sering dilihat bergerak pantas keluar dan masuk vegetasi, melompat dan juga tergantung secara terbalik untuk meneroka bahagian bawah daun. Burung yang menggunakan teknik ini ialah nuthatch dan warblers.

Selain itu, hawking pula ialah teknik burung menangkap serangga dan memakannya ketika terbang di udara. Burung yang menggunakan teknik ini akan mengejar serangga di udara, menangkap serangga tersebut dengan  menggunakan paruh dan akan meneruskan penerbangan tanpa hinggap di dahan. Teknik ini sering dilakukan di ruang udara yang terbuka seperti atas kanopi, sungai dan kawasan padang. Antara burung yang menggunakan teknik ini termasuklah burung layang-layang (swallow) dan burung tukang (nightjar). Satu lagi teknik yang digunakan ialah sallying. Teknik ini hampir sama seperti hawking, namun perbezaannya ialah burung akan terbang dari dahan, menangkap serangga di udara dan kembali hinggap semula ke dahan pokok yang sama untuk memakan serangga tersebut. Monarch dan philentoma merupakan antara kumpulan burung yang menggunakan teknik ini.

Dalam pada itu, teknik probing juga digunakan, iaitu burung ini akan menyelongkar dengan menggunakan paruh untuk menyeluk lubang, celah kulit kayu atau tanah untuk mencari larva atau serangga yang tersembunyi. Burung belatuk dan burung wader antara spesies yang menggunakan teknik ini. Teknik yang biasanya digunakan oleh burung yang bergerak di atas tanah pula ialah monarch, iaitu dengan mencari serangga di atas tanah atau serasah daun. Contoh spesies yang menggunakan teknik ini termasuklah burung murai (thrush), robin dan pitta.

Kepelbagaian spesies burung pemakan serangga yang menggunakan teknik yang berbeza ini meningkatkan keberkesanan pengawalan populasi serangga dalam pelbagai strata hutan dari kanopi hingga ke lantai hutan. Kepelbagaian ini amat penting di Hutan Simpan Mersing kerana merupakan hutan dipterokarpa tanah pamah.  Jenis hutan ini mempunyai beberapa lapisan termasuklah lapisan emergen, kanopi, lapisan tengah dan lantai hutan. Ciri habitat yang kompleks ini menyediakan persekitaran yang sesuai bagi pelbagai spesies serangga yang mempunyai tabiat, saiz dan peranan ekologi yang berbeza. Hal ini menjadikan peranan burung pemakan serangga amat kritikal dalam mengawal populasi serangga yang berbeza.

Di Hutan Simpan Mersing, terdapat pelbagai spesies burung pemakan serangga yang mendiami kawasan ini, termasuklah Bronzed Drongo (Dicrurus aeneus). Burung ini berwarna hitam dengan kilauan hijau kebiruan pada bahagian atas badan serta mempunyai ekor yang bercabang. Spesies ini boleh dijumpai secara berpasangan  serta dalam kumpulan yang mempunyai pelbagai spesies burung lain. Bronzed Drongo menggunakan teknik sallying. Sayapnya yang lincah dan ekornya yang bercabang membolehkan spesies ini melakukan pergerakan akrobatik yang pantas untuk menangkap serangga di udara.

Selain itu, Buff-necked Woodpecker (Meiglyptes tukki) merupakan spesies burung belatuk yang boleh dijumpai di Hutan Simpan Mersing. Burung ini bersaiz kecil dan berwarna coklat gelap dan mempunyai jalur pada bahagian sayap serta tompok berwarna krim pada bahagian sisi leher. Spesies ini menggunakan teknik probing, di mana ianya sering ditemui bertenggek secara menegak pada batang kayu dan mematuk batang kayu tersebut untuk mendapatkan serangga.

Buff-necked Woodpecker (Meiglyptes tukki) yang terdapat di Hutan Simpan Mersing.

Sementara itu, Blyth’s Paradise Flycatcher (Terpsiphone affinis) juga merupakan burung pemakan serangga di Hutan Simpan Mersing. Spesies ini sangat menarik kerana individu jantan boleh mempunyai salah daripada satu warna badan, iaitu putih atau coklat kemerahan. Individu jantan juga mempunyai warna biru di sekeliling matanya dan paruh berwarna biru metalik, manakala individu betina mempunyai warna yang lebih pudar pada kedua-dua bahagian ini. Dengan menggunakan teknik sallying, spesies ini menangkap serangga di udara seperti kupu-kupu dan pepatung.

Spesies Blyth’s Paradise Flycatcher (Terpsiphone affinis).

Satu lagi spesies burung pemakan serangga ialah Black-naped Monarch (Hypothymis azurea). Individu jantan bagi spesies ini mempunyai warna biru pada bahagian badan, tompok hitam yang ketara di belakang kepala serta jalur nipis berwarna hitam di bahagian atas dada. Sementara itu, individu betina pula berwarna biru yang lebih pudar dan tidak mempunyai tompok hitam di belakang kepala. Spesies ini juga menggunakan teknik sallying dan memakan serangga seperti kumbang dan kupu-kupu.

Black-naped Monarch (Hypothymis azurea).

Peranan komuniti burung pemakan serangga bagi habitat hujan tropika amat signifikan. Oleh sebab serangga kebiasaannya membiak dalam jumlah yang banyak, kehadiran burung pemakan serangga amat penting untuk mengawal populasi serangga yang memakan tumbuhan. Tanpa kehadiran pemangsa semula jadi seperti kumpulan burung ini, populasi serangga boleh meningkat dengan mendadak dan seterusnya memberikan kesan negatif kepada tumbuhan serta struktur ekosistem hutan.

Selain itu, kepelbagaian burung pemakan serangga juga sering dikaitkan dengan kesihatan sesuatu ekosistem hutan. Kepelbagaian spesies burung pemakan serangga yang tinggi menandakan bahawa habitat tersebut masih berada dalam keadaan yang baik. Tambahan pula, setiap spesies burung pemakan serangga mempunyai kecenderungan untuk memakan spesies serangga tertentu. Kepelbagaian ini membantu mengelakkan kelimpahan spesies serangga tertentu di dalam sesebuah hutan.

Kesimpulannya, usaha pemuliharaan hutan untuk amat penting dijalankan di Hutan Simpan Mersing bagi memastikan kelangsungan hidup burung pemakan serangga. Dengan mengekalkan kawasan hutan yang luas serta ketersambungannya dengan hutan yang lain, komuniti burung pemakan serangga akan dapat dipelihara dengan baik serta mengekalkan kepelbagaian spesies kumpulan burung ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi