Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangApabila menyebut tentang bunga terbesar di dunia, kebanyakan orang akan membayangkan bunga yang berwarna merah–oren yang tumbuh di lantai hutan tropika di Asia Tenggara. Bunga tersebut ialah raflesia, satu daripada tumbuhan unik dan misteri. Bunga gergasi ini merupakan sebahagian daripada keluarga Raflesiaceae. Di Malaysia, raflesia juga dikenali sebagai bunga pakma.

Malaysia merupakan antara negara yang kaya dengan kepelbagaian spesies raflesia. Spesies ini boleh ditemukan di beberapa kawasan hutan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Keunikan saiz dan ciri biologinya menjadikan bunga ini antara ikon biodiversiti negara serta tarikan yang penting bagi sektor ekopelancongan semula jadi. Namun demikian, di sebalik kemasyhuran bunga gergasi ini, terdapat wira tersembunyi yang jarang-jarang diberikan perhatian, iaitu tumbuhan perumahnya. Pada hakikatnya, tanpa tumbuhan perumah, raflesia tidak mampu hidup. Hubungan antara raflesia dengan tumbuhan perumahnya merupakan antara interaksi biologi yang luar biasa dalam dunia tumbuhan. Perumahnya jelas kelihatan apabila raflesia berkembang di perumahnya yang tergantung.

Kebanyakan tumbuhan mempunyai daun hijau untuk menjalankan proses fotosintesis. Daun ini membantu tumbuhan untuk menghasilkan makanan sendiri dengan menggunakan cahaya matahari. Namun demikian, raflesia sangat berbeza daripada tumbuhan biasa. Raflesia ialah sejenis tumbuhan yang tidak mempunyai daun, batang, akar ataupun klorofil. Hal ini bermaksud raflesia tidak boleh menghasilkan makanannya sendiri. Sebaliknya, bunga ini hidup sepenuhnya sebagai tumbuhan holoparasit, iaitu tumbuhan yang mengambil semua nutrien dan air daripada tumbuhan lain. Yang menariknya, sebahagian besar hidupnya berlaku secara tersembunyi di dalam tisu tumbuhan perumah. Manusia hanya melihat bunganya apabila kudup yang membesar berjaya sampai ke peringkat perkembangan bunga.
Perumah utama raflesia ialah tumbuhan pemanjat daripada genus Tetrastigma. Tumbuhan ini tergolong dalam keluarga Vitaceae, iaitu keluarga yang sama dengan pokok anggur. Namun demikian, hanya beberapa spesies Tetrastigma direkodkan sebagai perumah raflesia, misalnya Tetrastigma raflesiae dan Tetrastigma hookeri.
Di habitat hutan, Tetrastigma lazimnya tumbuh sebagai liana berkayu yang memanjat pokok besar di sekitarnya. Ada kalanya tumbuhan ini menjalar di lantai hutan sebelum kembali memanjat pokok lain. Pada pandangan biasa, Tetrastigma mungkin kelihatan seperti tumbuhan pemanjat biasa tanpa keistimewaan tertentu, namun bagi raflesia, tumbuhan inilah sumber kehidupan utamanya. Tanpa Tetrastigma, maka tiadalah raflesia.



Bunga raflesia di Malaysia terdiri daripada bunga jantan dan bunga betina. Pada penghujung fasa pembungaan, setiap bunga betina akan menghasilkan sebiji buah yang mengandungi ribuan biji benih halus. Apabila biji benih ini berjaya memasuki tisu perumah, biji benih ini akan mula hidup secara tersembunyi di dalam batang atau akar Tetrastigma. Pada peringkat ini, raflesia hadir sebagai jaringan tisu halus yang dikenali sebagai endofit, tanpa daun, batang atau akar yang kelihatan. Keadaan ini menyebabkan kewujudan raflesia sering tidak disedari selama bertahun-tahun. Hanya apabila kudup mula muncul pada permukaan perumah, barulah kehadirannya dapat dikenal pasti. Fenomena inilah yang menjadikan raflesia antara tumbuhan yang paling misteri dalam dunia botani.
Hingga kini, saintis masih berusaha memahami cara biji benih raflesia berjaya menjangkiti perumahnya. Walaupun buah raflesia mengandungi ribuan biji benih kecil, proses sebenar kemasukan biji benih tersebut ke dalam tisu Tetrastigma masih belum difahami sepenuhnya. Beberapa kajian terdahulu mencadangkan bahawa haiwan kecil seperti tupai dan babi hutan mungkin memainkan peranan dalam penyebaran biji benih. Biji benih itu dipercayai memasuki luka kecil pada batang atau akar perumah sebelum berkembang di dalamnya. Walaupun raflesia telah lama dikaji, banyak aspek awal kitaran hidup tumbuhan unik ini masih kekal misteri hingga hari ini.

Kudup raflesia berkembang dengan sangat perlahan. Terdapat kudup yang mengambil masa hampir setahun sebelum berkembang menjadi bunga matang. Namun demikian, proses perkembangan ini bukanlah mudah kerana kebanyakan kudup sebenarnya gagal mekar dan mati sebelum mencapai kematangan. Antara faktor yang dipercayai menyumbang kepada kematian kudup termasuklah jangkitan kulat, serangan serangga, kerosakan fizikal, gangguan haiwan serta keadaan perumah yang lemah.
Apabila berjaya mekar, bunga raflesia biasanya hanya mampu bertahan antara lima hari hingga tujuh hari sebelum bertukar menjadi hitam dan mereput. Ketika mekar, bunga ini menghasilkan bau tertentu untuk menarik lalat dan serangga lain yang membantu proses pendebungaan. Namun demikian, bau tersebut tidaklah terlalu kuat jika dibandingkan dengan spesies keladi Amorphophallus yang lebih dikenali sebagai bunga bangkai.



Hubungan antara raflesia dengan Tetrastigma bukan sekadar hubungan parasit biasa. Untuk terus hidup di dalam perumah, raflesia perlu menyesuaikan diri dengan sistem biologi tumbuhan tersebut. Tumbuhan ini menyerap nutrien daripada perumah tanpa membunuhnya terlalu cepat. Kajian moden turut mendapati bahawa sebahagian daripada bahan genetik perumah mungkin dipindahkan kepada raflesia melalui proses yang dikenali sebagai horizontal gene transfer. Fenomena ini dipercayai membantu tumbuhan parasit tersebut menyamarkan dirinya agar tidak mudah dikesan oleh sistem pertahanan perumah.
Kebanyakan orang beranggapan bahawa konservasi raflesia hanya melibatkan perlindungan kudup dan bunga yang mekar. Pada hakikatnya, cabaran sebenar jauh lebih besar. Untuk melindungi bunga ini, keseluruhan habitat perlu dipelihara, termasuklah tumbuhan perumahnya. Malangnya, dalam sesetengah aktiviti pembersihan hutan atau pembangunan kawasan rekreasi, liana seperti Tetrastigma sering dianggap tidak penting lalu dipotong. Apabila perumah mati, semua individu raflesia yang tersembunyi di dalamnya turut musnah. Selain itu, ancaman lain termasuklah pembukaan hutan, perubahan mikroiklim, aktiviti pelancongan yang tidak lestari serta gangguan terhadap lantai hutan dan habitat asalnya. Oleh itu, usaha konservasi raflesia perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan bukan hanya tertumpu kepada bunganya semata-mata.
Malaysia merupakan antara negara penting bagi konservasi raflesia di dunia. Pelbagai spesies telah direkodkan, misalnya Rafflesia azlanii, Rafflesia cantleyi, Rafflesia kerrii dan Rafflesia tiomanensis. Sesetengah spesies mempunyai taburan yang sangat terhad dan hanya ditemukan di lokasi tertentu. Keadaan ini menjadikan spesies tersebut amat terdedah kepada ancaman kepupusan sekiranya habitatnya terganggu.
Di sebalik rupa dan saiz gergasinya, raflesia sebenarnya tumbuhan yang sangat sensitif dan bergantung sepenuhnya pada perumahnya. Hubungan antara raflesia dengan Tetrastigma memperlihatkan betapa kompleksnya interaksi dalam hutan tropika. Walaupun bunga ini hanya mekar selama beberapa hari, sebahagian besar kehidupannya berlaku secara tersembunyi di dalam tubuh perumah serta dalam keadaan yang masih menyimpan banyak misteri yang belum terungkai. Diharapkan selepas ini, apabila melihat bunga raflesia mekar di dalam hutan, manusia akan lebih menghargai tumbuhan pemanjat yang selama ini menjadi “wira tersembunyi” di sebalik kewujudan bunga terbesar di dunia ini.