Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHutan Simpan Kledang Saiong terletak di Banjaran Keledang yang turut dieja sebagai “Kledang”, kira-kira 12 kilometer dari pusat bandar Ipoh, Perak. Banjaran Keledang merangkumi dua puncak utama, iaitu Gunung Kledang di bahagian selatan (Lembah Kinta) dan Gunung Saiong di bahagian utara (Kuala Kangsar). Nama “Kledang” diambil daripada pokok kledang (Artocarpus lanceifolius), sejenis pokok hutan bersaiz besar yang banyak tumbuh di kawasan tersebut, manakala nama “Saiong” pula berasal daripada nama mukim yang menempatkan Gunung Saiong.
Pada tahun 1987, pembinaan lebuh raya yang merentasi Hutan Simpan Kledang Saiong kelihatan seolah-olah memisahkan hutan simpan ini. Namun demikian, jajaran hijau tersebut masih kekal bersambung. Dua terowong ikonik, iaitu Terowong Menora dan Terowong Meru bukan sahaja berfungsi sebagai laluan utama kenderaan, malah turut menjadi koridor ekologi yang penting bagi membolehkan pergerakan hidupan liar di kawasan berkenaan.

Hutan Simpan Kledang Saiong telah diklasifikasikan sebagai Hutan Pengeluaran dengan sebahagian kompartmen ditetapkan sebagai kawasan Pemuliharaan Hutan Bernilai Tinggi atau High Conservation Value Forests dan diurus mengikut amalan Pengurusan Hutan secara Berkekalan bagi memastikan sumber hutan serta keseimbangan ekosistemnya terus terpelihara untuk generasi akan datang.


Hutan Simpan Kledang Saiong mempunyai kepelbagaian tumbuhan yang merangkumi tumbuhan berbatang lembut, renek, epifit, parasit serta pokok berkayu yang membentuk struktur hutan yang kompleks. Pokok daripada keluarga dipterokarpa merupakan spesies dominan di hutan ini, termasuklah spesies terancam seperti meranti lapis (Anthoshorea lamellata).
Yang lebih istimewa, hutan ini turut menjadi habitat kepada spesies dipterokarpa hiperendemik, iaitu resak gajah (Vatica abdulrahmaniana) yang hanya ditemukan di Hutan Simpan Kledang Saiong. Kehadiran spesies endemik dan terancam ini bukan sahaja memperkaya nilai biodiversiti kawasan tersebut, malah mencerminkan keunikan evolusi flora tempatan serta mengukuhkan kepentingan Hutan Simpan Kledang Saiong sebagai kawasan pemuliharaan yang bernilai tinggi.


Kebanyakan pokok dipterokarpa berperanan sebagai tulang belakang ekosistem hutan. Dengan saiz yang besar dan ketinggian yang mengatasi lapisan kanopi, pokok ini bukan sahaja bertindak sebagai penaung utama, malah menyokong pelbagai interaksi ekologi yang penting. Peranannya meliputi penyediaan habitat kepada hidupan liar, pembekalan sumber makanan serta mengekalkan kestabilan mikrohabitat yang penting untuk kelangsungan ekosistem hutan.
Antara spesies dipterokarpa yang biasanya ditemukan di Hutan Simpan Kledang Saiong termasuklah mersawa merah (Anisoptera megistocarpa), meranti seraya (Rubroshorea curtisii subsp. curtisii), meranti seraya daun besar (Rubroshorea curtisii subsp. grandis), meranti tembaga (Rubroshorea leprosula), meranti melantai (Rubroshorea macroptera), meranti sarang punai (Rubroshorea parvifolia), merawan siput jantan (Hopea odorata), merawan bunga (Hopea pubescens), keruing latek (Dipterocarpus elongatus), resak degung (Vatica havilandii), resak mempening (Vatica staphiana) dan resak lidi (Vatica maingayi).

Selain kumpulan dipterokarpa, Hutan Simpan Kledang Saiong turut merekodkan pelbagai spesies tumbuhan lain yang mendominasi hutan tanah pamah. Antaranya termasuklah spesies endemik seperti Johannesteijsmannia perakensis dan Licuala kingiana (Arecaceae) serta tumbuhan naungan yang hidup di lantai hutan seperti Didissandra frutescens (Gesneriaceae). Hutan ini juga merekodkan beberapa spesies yang jarang-jarang ditemukan, misalnya orkid tanah (Neuwiedia zollingeri var. Singapureana) serta pokok renek Tritaxis muricata (Euphorbiaceae).
Selain kaya dengan kepelbagaian flora, hutan ini turut menjadi habitat kepada pelbagai spesies yang mempunyai nilai etnobotani dan potensi perubatan. Sebahagian daripadanya telah lama dimanfaatkan dalam perubatan tradisional, manakala sebahagian yang lain berperanan sebagai sumber makanan penting kepada hidupan liar. Kehadiran spesies ini menyerlahkan kepentingan Hutan Simpan Kledang Saiong bukan sahaja sebagai pusat kepelbagaian biologi, malah sebagai penyedia perkhidmatan ekosistem yang menyokong kesejahteraan manusia serta kelestarian alam sekitar.





Di sebalik kekayaan biodiversitinya, Hutan Simpan Kledang Saiong kini berdepan dengan pelbagai ancaman akibat pembukaan kawasan hutan untuk ladang hutan, tanaman komoditi serta pembangunan infrastruktur yang semakin pesat. Perubahan landskap ini bukan sahaja menyebabkan kemusnahan habitat semula jadi, malah mengancam kelangsungan flora endemik dan spesies tumbuhan unik yang hanya terdapat di kawasan ini.
Pada masa yang sama, kehilangan pokok besar turut menjejaskan struktur kanopi hutan yang menjadi tunjang kestabilan ekosistem. Keadaan ini mengganggu keseimbangan rangkaian trofik dan pelbagai interaksi ekologi, sekali gus menjadikan ekosistem hutan lebih rapuh terhadap tekanan aktiviti manusia dan perubahan persekitaran.
Kesan pembangunan turut dapat dilihat melalui gangguan terhadap sistem hidrologi yang meningkatkan risiko banjir, hakisan tanah serta pemendapan sedimen sehingga menjejaskan kualiti sumber air. Gangguan ini juga boleh menghalang proses penyebaran biji benih dan regenerasi pokok baharu, sekali gus menjejaskan kesinambungan hutan dalam jangka masa panjang.
Selain itu, penyusutan habitat semula jadi berpotensi meningkatkan konflik antara manusia dengan hidupan liar apabila haiwan kehilangan kawasan perlindungan dan sumber makanan. Keadaan ini menjadi lebih membimbangkan dengan kewujudan halangan fizikal seperti Lebuhraya Utara–Selatan yang menyekat laluan pergerakan fauna serta memecahkan hubungan antara habitat.
Sehubungan dengan itu, pelaksanaan pengurusan hutan secara lestari yang disokong oleh pemantauan berterusan terhadap sebarang aktiviti pembukaan kawasan hutan merupakan satu keperluan yang amat kritikal. Pendekatan ini penting bagi memastikan Hutan Simpan Kledang Saiong terus berfungsi sebagai pusat pemuliharaan biodiversiti, pengimbang ekosistem dan kawasan tadahan air yang penting, di samping kekal sebagai destinasi rekreasi alam semula jadi yang selamat untuk masyarakat.
Melalui perancangan yang bersepadu dan berasaskan prinsip konservasi, keutuhan struktur hutan termasuklah strata kanopi tinggi dapat dikekalkan. Kehilangan habitat ini bukan sekadar bermaksud kehilangan kawasan hutan, malah berisiko menyebabkan kepupusan spesies tumbuhan unik yang tidak terdapat di tempat lain. Oleh itu, setiap bentuk pembangunan dan gangguan terhadap ekosistem Hutan Simpan Kledang Saiong perlu dinilai serta diurus dengan teliti agar keseimbangan ekologi dan nilai konservasinya dapat dipelihara untuk generasi akan datang.
Rafidah Abdul Rahman, Pegawai Penyelidik, Cawangan Herbarium, Program Biodiversiti Flora, Bahagian Biodiversiti Hutan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Siti Eryani Suterisno, Pegawai Penyelidik, Cawangan Pemuliharaan dan Biodiversiti Informatik, Program Kesihatan dan Pemuliharaan, Bahagian Biodiversiti Hutan, FRIM.
Nik Faizu Nik Hassan, Pegawai Penyelidik, Cawangan Ekologi Hutan, Program Hutan Asli, Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, FRIM.