Diterbitkan pada 24 April 2026, 09:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Genus Ganoderma yang lebih terkenal dengan kumpulan spesies cendawan “lingzhi” merupakan kulat polypore yang kini digolongkan dalam famili Polyporaceae. Perubahan klasifikasi taksonomi berdasarkan analisis molekul filogenetik telah mengubah kedudukan genus Ganoderma yang sebelum ini diletakkan dalam famili Ganodermataceae kepada Polyporaceae.

Spesies Ganoderma mempunyai buah yang keras, berbentuk spatula atau kipas serta bersaiz besar berbanding dengan kulat agarik yang berbentuk payung. Kulat ini hanya tumbuh pada kayu, sama ada pada batang pokok yang masih hidup ataupun pokok yang telah mati.

Sesetengah cendawan Ganoderma mempunyai permukaan buah yang berkilat seperti Ganoderma lucidum dan Ganoderma tropicum, manakala terdapat juga cendawan yang tidak berkilat seperti Ganoderma applanatum serta Ganoderma australe. Cendawan Ganoderma mempunyai liang di bahagian bawah buah yang membolehkan penyebaran spora apabila matang untuk tujuan pembiakan.

Keistimewaan Ganoderma turut terletak pada struktur dinding sporanya yang berdinding dua dan tebal, yang membezakannya daripada kebanyakan kulat polypore lain dalam famili yang sama.

Malaysia mempunyai kepelbagaian kulat yang tinggi dengan pelbagai jenis cendawan liar yang boleh ditemukan di hutan. Begitu juga dengan cendawan Ganoderma yang banyak ditemukan di kawasan tropika dan subtropika berbanding dengan kawasan beriklim sederhana.

Di Malaysia, lebih daripada 20 spesies cendawan Ganoderma telah direkodkan dan angka ini dijangkakan terus meningkat kerana kajian kepelbagaian kulat masih giat dijalankan. Namun demikian, banyak spesies masih dikenal pasti hanya pada tahap genus dan belum disahkan pada tahap spesies, sekali gus memerlukan kajian lanjut. Terdapat kemungkinan besar lebih banyak spesies baharu Ganoderma akan ditemukan di hutan negara.

Kebanyakan spesies Ganoderma di Malaysia tumbuh pada batang pokok berdiameter besar dan tidak terlalu spesifik terhadap pokok perumah, kecuali Ganoderma neojaponicum yang hanya tumbuh pada buluh serta Ganoderma ochrolaccatum yang ditemukan pada pokok bakau.

Antara spesies Ganoderma yang direkodkan di Malaysia termasuklah Ganoderma trengganuense, spesies endemik yang hanya ditemukan di Terengganu, manakala spesies seperti Ganoderma rivulosum dan Ganoderma trulliforme pula tergolong sebagai spesies yang langka dan jarang-jarang ditemukan. Sementara itu, Ganoderma australe dan Ganoderma philippii merupakan antara spesies yang lebih biasa ditemukan di Malaysia.

Cendawan Ganoderma memainkan peranan penting dalam ekosistem dan sesetengah spesiesnya turut mempunyai kepentingan dalam perubatan serta digunakan untuk tujuan kesihatan. Di hutan, kebanyakan cendawan Ganoderma berfungsi sebagai saprofit yang menguraikan kayu kepada bahan organik yang lebih kecil, sekali gus meningkatkan kesuburan tanah dan menyumbang kepada kitaran nutrien. Terdapat juga spesies Ganoderma yang bertindak sebagai saprofit dan patogen.

Sebagai contoh, Ganoderma applanatum bertindak sebagai patogen pada peringkat awal kitaran hidup dengan menyerang dan membunuh tisu pokok hidup, sebelum beralih menjadi saprofit untuk menguraikan kayu yang telah mati.

Selain itu, terdapat juga spesies yang bersifat patogen yang merosakkan tanaman dan menyebabkan penyakit reput pangkal batang serta reput akar. Contohnya, Ganoderma boninense menyebabkan penyakit reput pangkal batang pada kelapa sawit, manakala Ganoderma philippii menyebabkan penyakit reput akar merah pada pokok getah. Kedua-dua penyakit ini boleh mengakibatkan kematian pokok serta memberikan impak ekonomi yang besar kepada negara.

Jadual 1 Spesies Ganoderma yang dilaporkan di Malaysia.

No. Spesies Lokasi Peranan dari Segi Ekologi Peranan dari Segi Ekonomi
1. Ganoderma amazonense Pulau Pinang Saprofit

2. Ganoderma applanatum Kuala Lumpur, Pulau Pinang Saprofit dan patogen Kegunaan perubatan
3. Ganoderma australe Kebanyakan negeri di Malaysia Saprofit dan patogen Kegunaan perubatan
4. Ganoderma boninense  Johor, Pahang, Perak, Selangor Patogen Kegunaan perubatan
5. Ganoderma chalceum Semenanjung Malaysia, Sarawak Saprofit dan patogen Kegunaan perubatan
6. Ganoderma curranii Johor Saprofit
7. Ganoderma impolitum Pahang, Sabah Saprofit dan patogen
8. Ganoderma miniatocinctum Pahang, Sarawak Patogen Kegunaan perubatan
9. Ganoderma mirabile Pahang Patogen
10. Ganoderma nasalanense Selangor Saprofit
11. Ganoderma ochrolaccatum Selangor, Johor Saprofit
12. Ganoderma orbiforme Penang Patogen Kegunaan perubatan
13. Ganoderma neojaponicum (Bamboo bracket) Negeri Sembilan Saprofit Kegunaan perubatan, makanan
14. Ganoderma pfeifferi Sabah Saprofit dan patogen Kegunaan perubatan
15. Ganoderma philippii Kebanyakan negeri di Malaysia Patogen

16. Ganoderma resinaceum Semenanjung Malaysia Saprofit dan patogen Kegunaan perubatan
17. Ganoderma rivulosum Sabah Saprofit

18. Ganoderma subresinosum Pahang, Perak, Selangor Saprofit Kegunaan perubatan
19. Ganoderma trengganuense Terengganu Saprofit

20. Ganoderma tropicum Kebanyakan negeri di Malaysia Patogen Kegunaan perubatan
21. Ganoderma trulliforme Sabah Saprofit dan patogen

22. Ganoderma williamsianum Kebanyakan negeri di Malaysia Saprofit

23. Ganoderma zonatum Semenanjung Malaysia Patogen

Walaupun sesetengah spesies cendawan Ganoderma bertindak sebagai patogen dan menyebabkan kerugian kepada negara, terdapat juga spesies yang memberikan manfaat dalam bidang perubatan seperti meningkatkan imuniti serta bertindak sebagai agen antioksidan, antikanser, antimikrob dan pelbagai kegunaan lain. Dari sudut ekonomi, industri Ganoderma mempunyai nilai yang tinggi dan berpotensi dalam penghasilan produk kesihatan.

Antara spesies yang paling terkenal dan paling banyak dikaji ialah Ganoderma lucidum. Selain itu, terdapat juga spesies Ganoderma lain seperti yang disenaraikan dalam Jadual 1 yang mempunyai kegunaan perubatan serta berpotensi untuk dibangunkan sebagai produk kesihatan.

Dari aspek komposisi kimia, Ganoderma mengandungi pelbagai sebatian bioaktif seperti polisakarida, triterpena, sterol, protein, peptidoglikan, lektin dan sebatian fenolik yang memainkan peranan penting dalam kesihatan manusia, termasuklah sebagai antioksidan dan antikanser yang membantu mencegah penyakit. Ganoderma juga bertindak sebagai agen antimikrob yang mampu menghalang pertumbuhan mikroorganisma seperti bakteria gram-positif dan gram-negatif, misalnya Staphylococcus aureus, Escherichia coli dan Pseudomonas aeruginosa serta kulat patogen seperti Candida albicans.

Kini, pelbagai produk berasaskan Ganoderma telah berada dalam pasaran dalam bentuk kapsul, tablet, serbuk, ekstrak pekat, teh herba, kopi campuran, minuman kesihatan serta formulasi kosmetik dan penjagaan kulit. Selain bidang perubatan, Ganoderma turut mendapat perhatian dalam bidang bioremediasi kerana keupayaan kulat ini menghasilkan enzim ligninolytic seperti lakase dan peroksidase yang mampu memecahkan sebatian aromatik kompleks, termasuklah bahan pencemar organik yang sukar terurai dalam rawatan sisa industri.

Ganoderma bukan sahaja penting dari sudut ekologi, malah turut menjadi sumber biologi penting dalam industri kesihatan dan bioindustri dari segi ekonomi. Secara keseluruhannya, Ganoderma merupakan cendawan perubatan yang bernilai tinggi serta berpotensi besar dalam pasaran, selain memainkan peranan penting dalam pelbagai kegunaan bioindustri seperti bioremediasi, biopulping dan sebagainya.

Ganoderma australe (kiri) mempunyai permukaan berwarna coklat yang tidak licin dan kadang-kadang dengan warna putih di bahagian pinggir (kanan).
Ganoderma nasalanense yang ditemukan pada kayu yang reput.
Ganoderma sp. yang ditemukan pada pokok hidup di hutan.
Ganoderma tropicum yang ditemukan tumbuh di atas kayu di hutan (kiri) dan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (kanan).
Ganoderma philippii merupakan kulat patogen.
Thi Bee Kin, Pegawai Penyelidik,
Bahagian Biodiversiti Hutan,
Program Kesihatan dan Pemuliharaan Hutan,
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Noor Alia Sukri,
Pelatih Industri,
Bahagian Biodiversiti Hutan,
Program Kesihatan dan Pemuliharaan Hutan, FRIM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi