Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Pengurusan diet yang ketat merupakan “nyawa kedua” kepada pesakit hemodialisis. Dengan menyedari hakikat ini, seramai enam orang pelajar Tahun 3 Program Dietetik, bersama-sama tiga orang pensyarah dari Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menggembleng tenaga melaksanakan “Community Outreach Program” di Unit Dialisis, Pusat Kesihatan Universiti, UKM, Bangi.
Projek ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) serta SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), dengan objektif utamanya adalah untuk menjalankan penilaian keperluan diet pesakit secara komprehensif, selain merangka pendidikan pemakanan yang khusus mengikut keperluan pesakit hemodialisis.
Dengan menyelami akar permasalahan komuniti sebelum sebarang modul dibangunkan, para pensyarah serta pelajar dietetik ini telah menjalankan fasa penilaian keperluan (needs assessment) melibatkan 17 orang pesakit. Penilaian ini menggunakan instrumen klinikal yang diiktiraf seperti Diet History Questionnaire (DHQ), Malnutrition Inflammation Score (MIS) serta soal selidik Pengetahuan, Sikap dan Amalan (KAP).
Ketua projek, YBrs. Dr. Harvinder Kaur A/P Gilcharan Singh, menjelaskan realiti yang dihadapi oleh komuniti pesakit di unit tersebut.
Jelasnya,
Objektif utama fasa penilaian awal ini adalah untuk mengenal pasti jurang kefahaman pesakit sebenar. Hasil analisis kami mendapati bahawa 81.3 peratus pesakit mempunyai tahap pengetahuan yang sangat rendah, terutamanya mengenai keperluan mengehadkan pengambilan cecair, garam serta sumber makanan tinggi fosforus dan kalium.
Lebih mengejutkan, mereka mendapati terdapat satu jurang yang signifikan antara sikap dengan amalan pesakit dalam pengurusan diet bagi pesakit hemodialisis.
Tambahnya,
Walaupun majoriti pesakit (88.2%) menunjukkan sikap yang baik dan positif terhadap pengurusan diet, amalan pematuhan mereka masih tidak konsisten, iaitu 37.5 peratus daripadanya mencatatkan kepatuhan diet yang rendah.
Para pelajar telah membangunkan intervensi bersemuka dan inovasi digital bagi merungkai masalah ini serta menghasilkan sebuah modul pendidikan khas, iaitu”Jom Fahami Panduan Pemakanan Pesakit Dialisis”.

Program pendidikan intervensi ini kemudiannya disampaikan secara individu untuk peningkatan pengetahuan pesakit mengenai amalan pemakanan sihat bagi pesakit hemodialisis.
Bagi memudahkan pemahaman saintifik yang kompleks, kumpulan pelajar ini telah mengintegrasikan elemen digital dalam sesi pendidikan komuniti mereka. Seorang daripada pelajar Dietetik yang terlibat, Nabila Hazirah Rosli, berkongsi pengalaman kumpulannya dalam mendekati pesakit.
Kongsinya,
Kami sedar pesakit sukar mengingati fakta jika sekadar mendengar. Oleh itu, kami telah membangunkan sebuah permainan interaktif “Drag and Drop” dengan menggunakan tablet. Menerusi aktiviti ini, pesakit perlu menarik gambar makanan dan meletakkannya mengikut konsep Pinggan Sihat Hemodialisis serta memilih jumlah minuman yang tepat.
Tambahnya lagi, pendekatan ini membolehkan pelajar memberikan bimbingan secara terus kepada pesakit.
Ujarnya,
Sekiranya pilihan pesakit tidak menepati konsep Pinggan Sihat Hemodialisis atau melebihi had cecair harian, kami akan terus membetulkan kesilapan tersebut pada waktu itu juga. Hal ini sangat membantu mempraktikkan teori pemakanan secara visual.
Keberkesanan program dan usaha keras selama beberapa minggu ini ternyata tidak sia-sia. Data perbandingan prapendidikan dan pascapendidikan membuktikan keberkesanan intervensi yang dijalankan, iaitu pesakit menunjukkan peningkatan skor pengetahuan yang ketara. Tahap kesedaran mereka berhubung dengan sekatan cecair, garam, kalium, dan fosforus serta kemahiran pemilihan makanan telah meningkat.
Dari sudut implikasi kepada komuniti, program ini tidak sekadar memberikan ilmu, tetapi berjaya memberi kuasa (empower) pesakit untuk lebih berdikari dalam membuat keputusan pemakanan harian.
Walau bagaimanapun, projek ini turut menggariskan satu implikasi masa hadapan yang penting, iaitu pengetahuan yang disemai hari ini memerlukan pemantauan jangka masa panjang yang berterusan untuk memastikan kepatuhan amalan diet itu kekal konsisten.
Kerjasama erat antara institusi akademik dengan komuniti kesihatan setempat seperti ini wajar diteruskan dan diperluas. Mahasiswa bukan sekadar agen penyampai ilmu di menara gading, malah merupakan pemangkin perubahan kesejahteraan masyarakat di lapangan.