Diterbitkan pada 13 Mac 2026, 12:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hasil penyelidikan universiti awam di Malaysia bukan sekadar berada di makmal atau dalam penerbitan akademik, sebaliknya pelbagai inovasi yang dihasilkan kini digunakan secara meluas oleh industri di dalam dan luar negara, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Adam Adli Abd Halim, perkara itu dapat dilihat melalui beberapa kejayaan penyelidikan universiti tempatan yang telah dikomersialkan dan dimanfaatkan oleh pelbagai sektor industri.

Antara kejayaan paling ketara termasuklah penghasilan vaksin penyakit ayam V4 oleh penyelidik dari Universiti Putra Malaysia yang kini digunakan oleh industri ternakan unggas di lebih 20 negara kerana keberkesanannya dalam mengurangkan kadar kematian ayam secara mendadak.

Selain itu, teknologi penapisan air yang dibangunkan oleh penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia turut dimanfaatkan dalam rawatan sisa industri serta penyediaan bekalan air bersih di kawasan luar bandar.

Dalam bidang kesihatan pula, penyelidik dari Universiti Sains Malaysia berjaya menghasilkan kaedah pengesanan demam kepialu yang lebih cepat dan tepat serta teknologi tersebut juga telah dikomersialkan pada peringkat antarabangsa.

Sementara itu, penyelidik dari Universiti Malaya memperkenalkan sistem penyejukan pusat data menggunakan teknologi cecair penyejuk yang mampu menjimatkan penggunaan elektrik lebih daripada 30 peratus, sekali gus menjadi inovasi yang relevan dengan perkembangan pesat pembangunan pusat data pada masa ini.

YB Adam Adli Abd Halim berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi turut menyediakan pelbagai geran penyelidikan termasuklah geran padanan khusus bagi menggalakkan kerjasama antara universiti dengan pihak industri agar hasil kajian dapat dimanfaatkan dengan lebih meluas.

Beliau menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan YB Senator Dr. Hajah Wan Martina Wan Yusoff yang mempersoalkan faktor hasil penyelidikan universiti tempatan dilihat kurang dimanfaatkan untuk pembangunan industri dalam negara.

Menurut beliau, hasil penyelidikan universiti berpotensi besar menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara serta membuktikan institusi pengajian tinggi tempatan bukan sahaja sebagai pusat ilmu, malah menjadi pemacu inovasi yang memberikan impak kepada masyarakat dan industri.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi