Diterbitkan pada 6 Mac 2026, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Kerajaan Sarawak menubuhkan Unit Diplomasi Iklim dan Tenaga bagi memperkukuh peranan negeri itu dalam menangani perubahan iklim serta mewakili kepentingannya dalam perbincangan iklim dan tenaga pada peringkat antarabangsa.

Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg mengumumkan penubuhan unit tersebut ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Laporan Penilaian Institusi Perubahan Iklim Peringkat Subnasional (CCIA) 2026.

Menurut beliau, unit baharu itu akan disokong secara teknikal oleh Pusat Perubahan Iklim Sarawak dan berfungsi sebagai badan utama yang menyelaraskan dasar serta kerjasama berkaitan dengan agenda alam sekitar dan kelestarian negeri.

Katanya, unit tersebut akan mewakili Sarawak dalam forum iklim global, memberikan nasihat berkaitan dengan projek dan perjanjian utama, selain mengintegrasikan pertimbangan iklim dan tenaga dalam perancangan pembangunan negeri.

Beliau menjelaskan bahawa unit berkenaan juga akan menyatukan sumber serta teknologi hijau bagi memperkukuh pembangunan mampan dan meningkatkan daya saing ekonomi Sarawak dalam jangka masa panjang.

Beliau turut menyentuh kerjasama strategik antara Sarawak dengan Bank Dunia yang disifatkan sebagai berpandangan jauh kerana meliputi aspek tadbir urus iklim, pembaharuan syarikat milik kerajaan negeri, pengurusan kewangan awam serta pelaksanaan belanjawan berasaskan hasil.

Menurutnya, usaha tersebut berupaya memperkukuh ketelusan, kecekapan dan kebertanggungjawaban fiskal dalam pentadbiran negeri.

Beliau menegaskan bahawa tadbir urus ekonomi yang kukuh dan tadbir urus iklim yang mantap saling melengkapi dalam memastikan pertumbuhan ekonomi Sarawak kekal mampan.

Tema laporan CCIA 2026, iaitu “Membina Institusi untuk Tindakan Iklim dan Daya Tahan Ekonomi” juga selari dengan usaha Sarawak yang semakin aktif mengorak langkah dalam landskap iklim global.

Penubuhan unit baharu itu dilihat sebagai langkah strategik penting memandangkan Sarawak memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui yang besar dan berpotensi memainkan peranan lebih signifikan dalam perbincangan iklim pada peringkat dunia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi