Diterbitkan pada 6 Mac 2026, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Sains Bioperubatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (Kampus Kuala Lumpur) telah menganjurkan Bengkel Flebotomi Siri Ke-8 pada 5 dan 6 Februari 2026 yang bertujuan untuk  memberikan pendedahan dan latihan yang diperlukan oleh flebotomis untuk memahami pelbagai teknik yang terlibat dalam proses pengambilan darah.

Bengkel tersebut mendapat penyertaan seramai 23 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai bidang termasuklah Juruteknologi Makmal Perubatan, Jururawat, Jururadiografi dan pelajar pascasiswazah (Penyelidikan) dari sektor awam dan swasta yang terlibat secara langsung dalam pengambilan sampel darah sama ada bagi tujuan diagnostik mahupun penyelidikan.

Pengisian bengkel ini merangkumi sesi teori dan praktikal bagi meningkatkan pemahaman peserta bukan sahaja secara teori berkenaan dengan kaedah pengambilan darah, malahan juga memberikan peluang kepada peserta untuk memahami dan berupaya melakukan prosedur flebotomi yang betul, cekap dan selamat.

Bengkel ini telah dipengerusikan oleh pensyarah Program Sains Bioperubatan, YBrs. Dr. Farah Wahida Ibrahim bersama-sama YBrs. Dr. Nor Malia Abd Warif yang juga merupakan penceramah bagi bengkel ini serta seorang penceramah jemputan, YBrs.  Profesor Madya Dr. Noor Hazfalinda Hamzah daripada Program Sains Forensik, FSK, UKM.

Penerangan berkenaan dengan Teknik Flebotomi oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Hazfalinda Hamzah.

Kursus ini merangkumi sesi teori yang membincangkan tentang pengenalan kepada flebotomi, iaitu meliputi tatacara pelaksanaan prosedur yang standard serta asas anatomi dan fisiologi salur darah manusia. Selain itu, penekanan turut diberikan kepada amalan terbaik teknik flebotomi bagi memastikan prosedur dijalankan dengan berkesan dan mematuhi piawaian semasa. Peserta juga didedahkan kepada kaedah pengurusan komplikasi flebotomi serta tatacara pengendalian spesimen darah yang betul bagi menjamin kualiti dan integriti sampel, khususnya dalam fasa praanalitik.

Tidak terhad kepada pendedahan secara teori, para peserta juga diberikan peluang dan pendedahan praktikal melalui aktiviti main peranan (role play) bagi meningkatkan kefahaman serta kemahiran dalam pengendalian kes klinikal sebenar. Sebelum mengakhiri sesi bengkel, para peserta akan dinilai melalui ujian teori dan praktikal bagi memastikan setiap peserta yang hadir mempunyai pemahaman dan kecekapan serta layak untuk mengendalikan teknik flebotomi.

Peserta sedang menjalani ujian praktikal secara main peranan (role play).

Secara keseluruhannya, bengkel ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan memberikan pendedahan menyeluruh kepada peserta, bukan sahaja dari aspek teori flebotomi, malah dalam meningkatkan kecekapan pelaksanaan prosedur secara lebih sistematik dan selamat.

Melalui latihan dan perkongsian ilmu yang diberikan, peserta berupaya memperkukuh keyakinan diri dalam menjalankan prosedur flebotomi mengikut amalan terbaik. Di samping itu, bengkel ini turut menyumbang kepada pembangunan potensi dan kemahiran profesional peserta, sekali gus memperluas peluang kerjaya dalam bidang perubatan diagnostik dan perkhidmatan makmal kesihatan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi