Diterbitkan pada 4 Mac 2026, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Kanser esofagus masih kurang diberikan perhatian berbanding dengan kanser lain di Malaysia sedangkan kadar kelangsungan hidup pesakit kekal rendah akibat pengesanan lewat, sekali gus menuntut pemerkasaan penyelidikan, pendidikan kesihatan awam dan saringan awal bagi meningkatkan keberkesanan rawatan.

Menurut Pensyarah Unit Biologi, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, Puan Nur Syafiqah Rahim, kanser esofagus ialah kanser yang berlaku pada saluran makanan yang menghubungkan mulut ke perut dan kedudukannya yang kritikal menyebabkan fungsi menelan terjejas apabila penyakit merebak.

Puan Nur Syafiqah Rahim giat menjalankan penyelidikan berkaitan dengan mekanisme dan rintangan rawatan kanser esofagus.

Beliau berkata, kanser esofagus mempunyai kadar kematian yang tinggi dan sering dikesan pada tahap lewat kerana gejala awal seperti kesukaran menelan, rasa makanan tersekat di tekak atau dada, penurunan berat badan tanpa punca yang jelas serta sakit dada ringan sering disalah anggap sebagai masalah gastrik biasa.

Kultur sel kanser esofagus yang dibiakkan di makmal bagi memahami perubahan biologi sel dan menilai potensi terapi baharu secara terkawal.

Di Malaysia, faktor risiko utama termasuklah merokok, pengambilan alkohol, refluks asid kronik, obesiti dan tabiat pemakanan tidak seimbang boleh menyebabkan keradangan kronik pada esofagus dan seterusnya mencetuskan perubahan sel tidak normal.

Katanya,

Walaupun faktor genetik boleh memainkan peranan, kebanyakan kes lebih berkait dengan faktor persekitaran dan gaya hidup, dengan golongan lelaki serta individu berusia lebih daripada 50 tahun dikenal pasti sebagai kumpulan berisiko tinggi.

Secara umumnya, kanser esofagus bukan antara kanser dengan insiden tertinggi di negara ini, namun kadar kelangsungan hidupnya masih rendah berikutan pengesanan lewat dan komplikasi rawatan pada peringkat lanjut.

Ujarnya,

Dari sudut klinikal, diagnosis utama dilakukan melalui prosedur endoskopi yang membolehkan pemerhatian langsung keadaan esofagus serta pengambilan sampel tisu untuk analisis lanjut, manakala perkembangan teknologi seperti pengimejan beresolusi tinggi dan penggunaan kecerdasan buatan dapat membantu mengenal pasti lesi awal dengan lebih tepat dan pantas bagi meningkatkan peluang intervensi awal.

Pilihan rawatan bergantung pada tahap penyakit termasuklah pembedahan, kemoterapi dan radioterapi, dengan pendekatan moden turut menekankan aspek kualiti hidup pesakit agar rawatan bukan sahaja memanjangkan hayat, tetapi memastikan kesejahteraan fizikal dan emosi.

Proses rawatan ubat ke atas sel kanser esofagus sebagai sebahagian usaha menilai keberkesanan terapi dan meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit.

Jelasnya,

Penyelidikan pada peringkat global tertumpu kepada pembangunan terapi sasaran, imunoterapi dan pencarian biopenanda bagi pengesanan awal supaya rawatan lebih spesifik terhadap sel kanser tanpa merosakkan sel normal secara meluas.

Pada peringkat universiti, kajian yang dijalankan memberikan tumpuan kepada pemahaman mekanisme rintangan rawatan yang menjadi cabaran utama dalam terapi kanser bagi membuka ruang kepada pembangunan strategi rawatan baharu yang lebih efektif.

Sebagai Koordinator Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran kampus, beliau melihat potensi kolaborasi antara akademia, institusi kesihatan dan industri bagi mempercepat pemindahan ilmu serta inovasi ke peringkat aplikasi klinikal.

Menurut beliau, langkah pencegahan utama termasuklah berhenti merokok, mengawal berat badan, mengamalkan pemakanan sihat dan mendapatkan rawatan awal bagi masalah refluks asid kronik, manakala saringan awal amat digalakkan khususnya bagi individu berisiko tinggi atau mengalami gejala yang berpanjangan.

Tahap kesedaran masyarakat terhadap kanser esofagus masih sederhana dengan cabaran seperti stigma terhadap rawatan, ketakutan menjalani pemeriksaan dan kekangan sumber bagi melaksanakan saringan secara meluas, maka pendidikan kesihatan awam serta sokongan psikososial perlu dipertingkat bagi membantu pesakit dan keluarga memahami proses rawatan secara rasional.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengabaikan gejala yang berpanjangan dan mendapatkan maklumat sahih melalui hospital kerajaan, pakar perubatan serta sumber rasmi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan informasi yang diterima tepat dan berautoriti.

Usaha bersepadu antara penyelidikan, dasar kesihatan dan pendidikan masyarakat diyakini mampu memperbaik landskap pengurusan kanser esofagus di Malaysia, sekali gus meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit pada masa hadapan, selari dengan fokus penyelidikan beliau terhadap mekanisme biologi sel kanser, rintangan rawatan dan potensi terapi baharu yang lebih tepat serta berkesan.

Kolaborasi penyelidikan kanser melibatkan pasukan dari Universiti Malaya, Sunway University dan MAHSA University dalam memperkukuh jaringan kepakaran dan inovasi perubatan.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi