Diterbitkan pada 4 Mac 2026, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Di Malaysia, citrus atau sitrus lebih dikenali sebagai limau, merangkumi pelbagai jenis yang biasa ditemui dalam kehidupan seharian seperti limau nipis, limau kasturi, limau bali dan oren. Walaupun sering digelar dengan satu nama umum, kumpulan Citrus sebenarnya pelbagai dari sudut taksonomi, rupa bentuk, rasa serta adaptasi terhadap persekitaran. Kepelbagaian ini terhasil melalui sejarah evolusi dan hibridisasi yang panjang, menjadikan sitrus satu daripada kumpulan tanaman buah yang paling penting di rantau Asia dan pada peringkat global.

Sitrus tergolong dalam keluarga Rutaceae, yang terkenal dengan kandungan minyak pati beraroma pada daun, bunga dan buahnya. Keluarga ini merangkumi lebih 140 genera dan sekitar 1300 spesies di seluruh dunia. Hal ini menjadikannya antara kumpulan tumbuhan berbunga yang pelbagai.

Genus sitrus sendiri amat menarik dari sudut taksonomi. Kepelbagaian bentuk, warna dan rasa menjadikannya sukar untuk dikenal pasti secara morfologi semata-mata. Morfologi merujuk bentuk dan struktur luaran benda hidup yang boleh dilihat dengan menggunakan deria seperti mata, hidung dan sentuhan. Morfologi tumbuhan digunakan sebagai teknik untuk mengenal pasti spesies tumbuhan yang pelbagai.  Sehingga kini, terdapat 33 spesies sitrus yang telah dikenal pasti di seluruh dunia, manakala 137 spesies lain masih belum disahkan kedudukannya. Namun begitu, satu ciri umum yang mudah dikenali ialah buahnya yang disebut sebagai hesperidium, iaitu buah bervesikel dan dilindungi kulit tebal yang mudah dipisahkan. Dalam bahasa mudah, hesperidium ialah setiap ulas buah limau yang tersusun dalam bulatan. Struktur ini menjadikan buah sitrus unik, kerana tergolong dalam kumpulan beri beraroma dengan lapisan kulit luar yang tebal.

Bentuk hesperidium pada buah oren.

Spesies Sitrus di Asia

Yang berikut merupakan antara spesies sitrus yang terdapat di Asia:

Spesies Nama Umum Habitat Asal
Citrus medica limau citron India
Citrus aurantium limau pahit China
Citrus sinensis limau manis China
Citrus maxima  limau bali Asia Tenggara
Citrus limon lemon India
Citrus reticulata limau mandarin China
Citrus aurantiifolia limau nipis Malaya
Citrus paradisi limau gedang Kepulauan Barbados
Citrus tachibana limau tachibana Jepun
Citrus indica limau hutan India India

Jadual di atas memperlihatkan kepelbagaian spesies sitrus di Asia dan sekitarnya, yang mencerminkan keluasan adaptasi genus ini terhadap pelbagai keadaan ekologi. Antara limau yang paling tua dan penting ialah Citrus medica dari India. Limau ini dipercayai satu daripada spesies asal kepada kebanyakan sitrus moden. Citrus aurantium dan Citrus sinensis dari China masing-masing mewakili limau pahit dan limau manis yang mempunyai nilai ekonomi tinggi di seluruh dunia. Dari rantau Asia Tenggara pula muncul Citrus maxima, spesies dengan saiz buah terbesar dalam genus ini.

Selain itu, terdapat  Citrus paradisi dari Kepulauan Barbados. Citrus limon dari India dan Citrus reticulata dari China pula menjadi asas kepada pelbagai varieti lemon dan limau mandarin yang banyak ditanam secara komersial. Sementara itu, Citrus aurantiifolia dari Malaya menunjukkan adaptasi baik terhadap iklim tropika lembap, menjadikannya penting dalam masakan tempatan. Citrus tachibana dari Jepun dan Citrus indica dari India pula ialah spesies liar yang masih dikaji bagi mengenal pasti potensi genetiknya dalam pembiakan dan pemuliharaan. Secara keseluruhannya, jadual ini menggambarkan bahawa Asia merupakan pusat utama kepelbagaian dan evolusi sitrus. Interaksi antara spesies liar dengan terdomestikasi telah menghasilkan rangkaian kepelbagaian buah limau yang kini dinikmati di seluruh dunia.

Leluhur Asas Citrus

Walaupun genus ini tampak kompleks, penyelidikan genetik menunjukkan bahawa hampir semua spesies Citrus moden berpunca daripada tiga spesies leluhur utama, iaitu Citrus medica, Citrus reticulata dan Citrus maxima. Ketiga-tiganya membiak melalui persenyawaan, tidak seperti spesies apomiksis yang membiak tanpa proses persenyawaan.

Apomiksis ialah proses pembentukan biji benih tanpa persenyawaan, menghasilkan anak yang merupakan salinan genetik seiras kepada induk betina. Akibatnya, kumpulan apomiksis mempunyai kepelbagaian genetik yang rendah. Sebaliknya, spesies yang terkacuk secara seksual seperti Citrus medica dan Citrus maxima memperlihatkan variasi genetik yang tinggi, yang penting bagi penyesuaian dan evolusi semula jadi.

Citrus medica dipercayai menjadi induk kepada lemon dan limau. Pokoknya bersaiz kecil, berbentuk renek dan sensitif terhadap cuaca sejuk. Oleh sebab pembiakannya sepenuhnya berlaku secara seksual, kumpulan ini mempunyai simpanan genetik yang luas.

Sementara itu, Citrus reticulata pula dipercayai menjadi leluhur oren dan tangerin. Spesies ini mampu membiak secara seksual dan apomiksis, menghasilkan kepelbagaian tahap sederhana. Buahnya lebih kecil dan kulitnya mudah dikupas berbanding dengan oren manis.

Dalam pada itu, Citrus maxima merupakan antara spesies paling tahan lasak, berasal dari Asia Tenggara termasuk Malaysia. Spesies ini juga membiak secara seksual dan menunjukkan kepelbagaian tahap tinggi dari segi saiz, bentuk dan warna vesikel. Citrus paradisi dipercayai muncul sebagai hibrid semula jadi antara limau bali dan oren manis.

Jejak Evolusi dan Kepelbagaian Molekul

Kemajuan biologi molekul dan penjujukan genom telah mengubah kefahaman kita tentang evolusi sitrus. Kajian terkini menunjukkan bahawa genus ini mengalami penghibridan purba dan penyebaran melalui laluan perdagangan kuno dari India hingga ke Laut Mediterranean.

Proses penghibridan ini memainkan peranan besar dalam pembentukan variasi rasa, saiz dan aroma yang menjadikan buah sitrus begitu beraneka hari ini. Walau bagaimanapun, proses penghibridan juga menyebabkan kekeliruan dalam taksonomi tradisional yang hanya bergantung pada morfologi.

Penggunaan teknologi berasaskan biologi molekul seperti analisis penanda DNA kloroplas dan mitokondria mendapati Citrus medica berasal dari India, Citrus reticulata dari China Selatan dan Citrus maxima dari Asia Tenggara, menyokong hipotesis bahawa Asia ialah pusat asal usul sitrus.

Selain itu, kajian genetik nuklear menunjukkan banyak spesies komersial seperti oren manis dan lemon sebenarnya merupakan hasil penghibridan kompleks antara leluhur asal. Sebagai contoh, oren manis terbentuk daripada persilangan Citrus reticulata dan Citrus maxima, manakala lemon merupakan kacukan Citrus medica dengan Citrus aurantium.

Pemuliharaan dan Kepentingan Sumber Genetik

Pada era perubahan iklim dan kemerosotan biodiversiti, pemuliharaan sumber genetik Citrus menjadi semakin penting. Spesies liar seperti Citrus tachibana dan Citrus indica menyimpan gen tahan penyakit, kemarau serta tekanan persekitaran yang amat berharga untuk pembiakan varieti baharu.

Institusi penyelidikan dan bank gen di seluruh dunia, termasuk MARDI berperanan dalam mengumpul dan menyimpan germplasma Citrus tempatan untuk tujuan penyelidikan jangka masa panjang. Melalui strategi pemuliharaan ex situ dan in situ, sumber genetik ini dapat dijadikan asas kepada pembangunan tanaman yang lebih tahan dan lestari.

Kemajuan dalam bioteknologi tanaman, termasuk penggunaan penanda molekul dan penyuntingan gen CRISPR/Cas9, turut membuka peluang untuk mempertingkatkan sifat agronomi sitrus dengan ketepatan tinggi, iaitu daripada ketahanan terhadap Citrus greening disease (HLB) sehinggalah kepada penghasilan buah berkualiti premium untuk industri makanan dan nutraseutikal.

Warisan Hidup Sitrus

Setiap hirupan jus oren atau potongan lemon yang segar sebenarnya mengandungi kisah evolusi yang panjang dan kompleks. Sitrus bukan sekadar tanaman buah, namun sitrus juga mewakili warisan biologi yang telah membentuk sejarah perdagangan, pertanian dan gastronomi manusia.

Daripada leluhur purba yang tumbuh liar di hutan Asia hingga kepada varieti moden yang membekalkan vitamin C kepada jutaan manusia, sitrus terus menjadi simbol adaptasi, kepelbagaian dan kelestarian.

Oleh itu, usaha penyelidik dan pengurus sumber genetik dalam memelihara variasi genetik sitrus bukan sahaja penting bagi pertanian masa hadapan, tetapi juga bagi mengekalkan kesinambungan warisan semula jadi yang telah menyegarkan dunia selama ribuan tahun.

Sitrus ialah cerminan keindahan evolusi dan sains yang membuktikan bahawa setiap gen, aroma dan rasa mempunyai akar yang mendalam dalam sejarah alam. Dengan menyelami asal usulnya bukan sekadar memahami sejenis buah, tetapi juga memahami perjalanan panjang kehidupan di muka bumi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi