Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Pengenalan kandungan dan keupayaan baharu dalam platform Web of Science diyakini mampu meningkatkan impak penyelidikan serta memperkukuh strategi penerbitan saintifik warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi pemanfaatan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analitik sitasi yang lebih komprehensif.
Sesi webinar bertajuk “What’s New on Web of Science: New Content and Capabilities Available to Users at UiTM” itu dianjurkan oleh Unit Literasi Maklumat, Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dengan kerjasama Clarivate dan berlangsung secara dalam talian menerusi Microsoft Teams.
Webinar berkenaan menampilkan penceramah undangan, Principal Customer Success Consultant, Clarivate, Encik Pavel Kasyanov yang memperkenalkan pangkalan data baharu seperti Policy Citation Index bagi membolehkan pengguna menilai impak penyelidikan terhadap dokumen dasar awam dan polisi global.

Menurut beliau, pengguna bukan sahaja dapat melihat jumlah sitasi akademik melalui polisi tersebut, malah dapat meneliti cara dapatan kajian mempengaruhi dokumen dasar pada peringkat antarabangsa, sekali gus mengukur kesan sosialnya kepada masyarakat secara lebih menyeluruh.

Beliau turut menjelaskan bahawa peranan research commons sebagai hab komuniti penyelidikan yang menyokong keterlihatan profil penyelidik, jaringan kolaborasi dan perkongsian kepakaran serta membantu warga akademik membina reputasi penyelidikan secara strategik pada peringkat global.
Platform tersebut juga menghimpunkan kandungan jurnal tambahan daripada sumber metadata terbuka ke dalam Web of Science dan disediakan seiring dengan koleksi terpilih yang disaring dengan rapi dalam Web of Science Core Collection.
Sesi perkongsian tersebut turut memberikan tumpuan kepada fungsi smart search yang lebih intuitif dan berasaskan AI, menggabungkan pengecaman entiti serta niat carian, carian semantik, cadangan automatik dan sokongan pelbagai bahasa bagi membantu pengguna memperoleh hasil carian yang lebih tepat dan relevan.
Para peserta juga didedahkan kepada keupayaan research assistant yang menggunakan teknologi AI generatif untuk membantu sintesis literatur, meneroka topik baharu dan menjawab persoalan penyelidikan dengan lebih pantas.
Untuk memberikan gambaran yang lebih jelas, penceramah turut membandingkan tiga kaedah carian utama, iaitu smart search, advanced search dan research assistant dengan smart search sesuai untuk pengguna peringkat asas hingga pertengahan melalui gabungan carian Boolean dan semantik.

Advanced search memfokuskan pembinaan pertanyaan manual dengan menggunakan logik Boolean untuk ketepatan serta kebolehulangan kajian, manakala research assistant menawarkan pendekatan perbualan berasaskan bahasa semula jadi dengan keupayaan AI yang lebih tinggi untuk mentafsir niat pengguna serta mencadangkan penambahbaikan carian.

Lebih daripada 100 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah, penyelidik, pelajar pascasiswazah dan pentadbir penyelidikan menyertai sesi perkongsian tersebut, selaras dengan usaha berterusan PTAR dalam memperkasakan literasi maklumat dan menyokong ekosistem penyelidikan universiti.
