Diterbitkan pada 26 Februari 2026, 15:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran (UPIK), Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin telah menganjurkan Bengkel Pitching dan Pembentangan Inovasi Berkesan bagi membimbing pelajar menguasai kemahiran komunikasi dan pembangunan idea inovasi secara lebih berstruktur serta praktikal.

Bengkel tersebut berlangsung di Bilik Inovasi UiTM Cawangan Perlis dengan penyertaan sebanyak 22 orang pelajar bersama-sama dua orang guru pengiring, iaitu Encik Wan Mohd Shakir Wan Nordin dan Encik Effendy Che Khosni.

Bengkel ini dirangka untuk membina asas pemikiran inovatif pelajar, di samping meningkatkan kemahiran komunikasi melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang menekankan proses mengenal pasti masalah sebenar, membangunkan penyelesaian relevan dan menyampaikan idea dengan meyakinkan, selaras dengan standard pertandingan inovasi.

Timbalan Rektor PJI, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail berkata, kerjasama strategik antara universiti dengan sekolah mampu membina bakat inovasi sejak peringkat awal pendidikan, sekali gus mewujudkan kesinambungan pembangunan modal insan negara.

Sekitar berlangsungnya sesi perkongsian yang disampaikan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail.

Katanya,

Pendedahan awal adalah penting untuk memupuk keberanian pelajar mencuba idea baharu serta memberikan keyakinan bahawa inovasi merupakan kemahiran yang boleh dipelajari dan diperkasakan.

Tambah beliau, penganjuran program ini turut mencerminkan peranan UPIK sebagai platform penghubung antara kepakaran universiti dengan komuniti luar, khususnya institusi pendidikan sekolah, melalui perkongsian ilmu serta pengenalan kepada ekosistem inovasi sebenar.

Ujarnya,

Untuk perancangan jangka masa panjang, UPIK bercadang memperluas pelaksanaan program secara lebih sistematik menerusi klinik penulisan abstrak dan laporan projek, simulasi pertandingan inovasi serta pementoran hingga peringkat penyertaan sebenar.

Sementara itu, koordinator UPIK, Puan Nur Syafiqah Rahim berkata, pendekatan yang digunakan dalam bengkel tersebut memberikan penekanan kepada pembangunan inovasi secara menyeluruh agar pelajar memahami kepentingan impak sesuatu idea.

Puan Nur Syafiqah Rahim ketika menyampaikan sesi perkongsiannya di Bilik Inovasi, PJI, UiTM Cawangan Perlis.

Beliau menegaskan bahawa pelajar perlu melihat inovasi sebagai proses penyelesaian masalah sebenar, bukan sekadar menghasilkan produk, selain menekankan kepentingan komunikasi yang jelas bagi memastikan idea dapat difahami dan diyakini.

Sepanjang bengkel berkenaan, para peserta didedahkan kepada elemen penting pembangunan inovasi termasuklah pemikiran berasaskan masalah, teknik penulisan abstrak secara sistematik, penentuan pengguna sasaran, pembinaan nilai keunikan produk serta strategi pitching yang ringkas dan berimpak tinggi.

Pendedahan tersebut membantu pelajar memahami bahawa kejayaan inovasi bukan sahaja bergantung pada kekuatan idea, tetapi juga keberkesanan penyampaian.

Antara cabaran utama yang dikenal pasti termasuklah kebanyakan pelajar masih berada pada peringkat awal pembangunan idea serta belum mempunyai pengalaman formal dalam pertandingan inovasi, selain kurang pendedahan kepada struktur abstrak, teknik pembentangan profesional dan piawaian pertandingan sebenar.

Bengkel tersebut berfungsi sebagai ruang pembelajaran aktif melalui bimbingan langsung fasilitator universiti bagi membantu pelajar menajamkan pernyataan masalah, memperincikan fungsi produk serta meningkatkan keyakinan diri semasa pembentangan.

Bengkel ini turut dibantu oleh lapan orang fasilitator dalam kalangan pensyarah pelbagai fakulti yang membimbing pelajar sepanjang sesi latihan pembentangan dan penambahbaikan idea.

Kerjasama antara UiTM Cawangan Perlis dengan SMK Syed Sirajuddin dilihat berpotensi menjadi model kolaborasi yang boleh diperluas ke sekolah lain dalam usaha membina budaya inovasi yang mampan, inklusif dan berimpak tinggi kepada pembangunan pendidikan negara.

Sesi bersama-sama fasilitator memberikan peluang kepada pelajar SMK Syed Sirajuddin mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang pembangunan inovasi secara lebih efektif.
Fasilitator UiTM Cawangan Perlis ketika membimbing pelajar SMK Syed Sirajuddin dalam sesi latihan pembentangan dan penambahbaikan idea inovasi.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi