Diterbitkan pada 24 Februari 2026, 17:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Selangor – Persatuan Gabungan Anak-anak Palsi Serebrum (GAPS) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan bengkel Frame Football for Children and Youth with Cerebral Palsy bagi memperkenalkan dan menghidupkan semula sukan inklusif untuk kanak-kanak serta remaja palsi serebrum (CP) di Malaysia.

Menurut Presiden GAPS, Puan Rafidah @ Rafizah Ahmad, bengkel ini bertujuan untuk menyemarakkan kefahaman orang ramai termasuk ibu bapa dan individu CP mengenai sukan frame football.

Sementara itu, Profesor Madya Dr. Asfarina Zanudin, Penyelidik dan Pensyarah dari Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas, Fakulti Sains Kesihatan, UKM selaku penganjur bersama turut menyatakan kepentingan aktiviti riadah bagi kanak-kanak dan remaja termasuk CP bagi mengelakkan kelemahan otot, kekakuan sendi dan kemerosotan pergerakan.

Bengkel ini menampilkan jurulatih bertauliah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa FIFA, Coach Sunny dari Pan-Disability Football sebagai penceramah yang berkongsikan pengalaman dalam mengurus atlet kurang upaya pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta hasrat memperluas penyertaan sukan ini kepada semua golongan termasuklah individu CP.

Menurut Coach Sunny, sukan frame football yang mula bertapak di Malaysia sejak tahun 2016 terhenti ketika pandemik COVID-19 sehingga banyak atlet bersara, maka usaha kini tertumpu pada melatih atlet baharu, di samping menyerlahkan bakat sedia ada.

Beliau turut menjelaskan bahawa bola sepak sebagai sukan paling popular dunia boleh dinikmati oleh individu CP melalui penggunaan frame atau walker yang membolehkan mereka bergerak dan menyepak bola, sekali gus menjadikan sukan ini dikenali sebagai frame football.

Antara manfaat bermain sukan ini termasuklah membentuk disiplin, meningkatkan kecergasan fizikal, menguatkan otot dan sendi, membina keyakinan diri serta memupuk semangat berpasukan, selain memerlukan latihan regangan, kecergasan dan taktikal seperti sukan lain.

Cabaran pembangunan sukan ini merangkumi keperluan mendapatkan lokasi latihan yang sesuai, peralatan frame atau walker yang mencukupi, jurulatih terlatih, gelanggang berbumbung dan mesra roda seperti dewan yang luas disifatkan paling sesuai.

Bengkel tersebut menghimpunkan 40 orang peserta terdiri daripada kanak-kanak dan remaja CP, ibu bapa serta sukarelawan daripada GAPS serta pelajar dari British International School, UKM dan Universiti Malaya yang turut mengikuti sesi demonstrasi dan perlawanan persahabatan bersama-sama sukarelawan yang terlibat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi