Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Selangor – Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, telah merasmikan Majlis Peluncuran Keselamatan Makanan Bazar Ramadan Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Bazar Ramadan Kuala Selangor, semalam.
Pelancaran ini menandakan permulaan rasmi Kempen Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2026 sekaligus membuka tirai Operasi Bazar Ramadan yang akan dijalankan serentak di seluruh negara bagi memastikan makanan yang dijual kepada orang ramai bersih, selamat dan berkualiti.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) akan menjalankan pemantauan ketat terhadap gerai bazar sepanjang Ramadan ini. Pemantauan tersebut merangkumi pemeriksaan ke atas pengendali makanan, memastikan mereka mempunyai sijil Latihan Pengendali Makanan (LPM) serta suntikan antitifoid seperti yang dikehendaki di bawah Akta Makanan 1983.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati semasa memilih juadah berbuka puasa dengan mengamalkan konsep “Perhati dan Pilih.” Tiga langkah mudah yang diperkenalkan, iaitu “lihat, hidu, rasa” digalakkan untuk diamalkan sebelum membeli sebarang makanan di bazar bagi mengelakkan daripada terjebak dengan makanan yang tidak segar atau tidak selamat dimakan.
Semasa majlis berlangsung, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly turut membuat lawatan ke gerai bazar dan menyampaikan apron serta replika “Perhati dan Pilih” kepada para peniaga sebagai tanda sokongan dan komitmen bersama dalam menjaga kebersihan serta keselamatan makanan.
KKM menegaskan bahawa pemantauan dan penguatkuasaan akan diteruskan tanpa henti sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan kesihatan pengguna sentiasa terjaga.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Dato’ Sri Zahrul Hakim Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, YBrs. Dr. Ismuni Bohari, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), YBrs. Ts. Zailina Abdul Majid, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Keselamatan dan Kualiti Makanan), serta YBrs. Dr. Ummi Kalthom Shamsuddin, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa prihatin terhadap kebersihan dan kesegaran makanan yang dibeli demi menjaga kesihatan diri dan keluarga sepanjang Ramadan.