Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengamalkan langkah kesihatan kendiri, terutamanya berkaitan kesihatan pernafasan sepanjang bulan Ramadan ini.
Penyakit batuk kering (TB) merupakan jangkitan bawaan udara yang merebak apabila seseorang yang menghidap TB aktif batuk, bercakap, atau bersin. Walau bagaimanapun, penularannya tidak merebak dan berjangkit seperti influenza atau COVID-19 yang memerlukan pendedahan yang lebih lama serta berulang.
Menurut kenyataan KKM, Minggu Epidemiologi ke-6 (ME-6/2026) telah mencatatkan sebanyak 596 kes baharu penyakit TB yang membawa kepada jumlah kumulatif sebanyak 3,161 kes bagi tahun 2026 bermula dengan negeri Sabah yang mencatatkan jumlah kes tertinggi, iaitu sebanyak 755 kes (23.88 peratus), diikuti oleh Selangor dengan 596 kes (18.85 peratus) dan Sarawak dengan 332 kes (10.50 peratus).
Negeri-negeri lain yang turut mencatatkan jumlah kes yang signifikan adalah negeri Johor dengan 280 kes (8.86 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 244 kes (7.72 peratus), Kedah merekodkan 181 kes (5.73 peratus), Pulau Pinang 172 kes (5.44 peratus), Perak 154 kes (4.87 peratus), Kelantan 121 kes (3.83 peratus), dan Pahang sebanyak 103 kes (3.26 peratus).
Bagi negeri yang mencatatkan jumlah kes di bawah angka seratus seperti Terengganu melaporkan 74 kes (2.34 peratus), diikuti oleh Negeri Sembilan dengan 62 kes (1.96 peratus), Melaka sebanyak 48 kes (1.52 peratus), Perlis dengan 21 kes (0.66 peratus), dan akhir sekali Wilayah Persekutuan Labuan dengan 18 kes (0.57 peratus).
KKM turut menegaskan bahawa risiko penularan TB boleh merebak sekiranya individu tersebut terdedah dalam tempoh masa yang panjang di ruang tertutup, sesak dan kurang pengudaraan, terutamanya jika terdapat individu yang mempunyai jangkitan TB yang masih belum mendapatkan rawatan di hospital.
Sehubungan dengan itu, KKM menasihati orang ramai supaya konsisten mengamalkan langkah kesihatan kendiri sepanjang bulan Ramadan dengan mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul, memastikan pengudaraan yang baik di dalam ruang tertutup, memakai pelitup muka sekiranya bergejala atau berada di tempat yang sesak, serta mendapatkan pemeriksaan segera sekiranya mengalami batuk berpanjangan melebihi dua minggu atau gejala lain yang berkaitan.