Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTokyo – Malaysia menampilkan inisiatif komunikasi strategik dan pelibatan pemegang taruh apabila Nuklear Malaysia menyertai program Forum for Nuclear Cooperation in Asia (FNCA) 2026 di Tokyo, sekali gus memperkukuh keterlibatan negara dalam kerjasama nuklear serantau.
Program yang dianjurkan oleh Japan Atomic Energy Commission bersama-sama Cabinet Office of Japan itu berlangsung di Mita Conference Hall serta diikuti secara maya melalui platform Webex.
Mewakili Malaysia, YBrs. Dr. Haizum Ruzanna Sahar membentangkan kajian kes, laporan kemajuan dan perkembangan semasa negara menerusi pembentangan bertajuk “Malaysian Perspective: Building Public Trust in Nuclear Technology” yang menggariskan pendekatan strategik komunikasi awam oleh Nuklear Malaysia dalam meningkatkan keyakinan dan penerimaan masyarakat terhadap teknologi nuklear, termasuklah penekanan terhadap komunikasi risiko yang berkesan, pengukuhan pendidikan nuklear serta pelibatan berterusan pemegang taruh.
Sesi pembentangan tersebut disusuli dengan perbincangan interaktif bersama-sama pakar antarabangsa bagi berkongsikan amalan terbaik dan pendekatan dalam menghadapi cabaran komunikasi pada peringkat global.
Dalam program yang sama, YBrs. Dr. Haizum Ruzanna Sahar turut diundang sebagai ahli panel bagi forum yang bertajuk “Challenges and Opportunities for Introducing Nuclear Power Programmes” yang dipengerusikan oleh Ketua Pejabat Serantau International Atomic Energy Agency Tokyo, Susan E. Pickett dengan perbincangan tertumpu kepada cabaran utama dan peluang strategik bagi negara yang merancang atau membangunkan program tenaga nuklear.

Menurut beliau, negara yang merancang pembangunan tenaga nuklear perlu menilai cabaran kritikal serta memanfaatkan peluang strategik termasuklah kesiapsiagaan infrastruktur dan penerimaan masyarakat agar setiap inisiatif memberikan manfaat kepada kesejahteraan rakyat.
Penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan Nuklear Malaysia dalam memastikan pembangunan teknologi nuklear negara selaras dengan piawaian antarabangsa serta diterima oleh masyarakat, selain memperkukuh jaringan kerjasama dengan delegasi negara anggota FNCA termasuklah Jepun, Australia dan Korea.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohammed Zin, Pengerusi Japan Atomic Energy Commission, Mitsuru Uesaka serta Pesuruhjaya JAEC, Naoi Yosuke bersama-sama delegasi dari negara anggota FNCA.