Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTokyo – Malaysia terus memperkukuh peranan serantau dalam kerjasama nuklear apabila Nuklear Malaysia menyertai Mesyuarat Penyelaras ke-26 Forum for Nuclear Cooperation in Asia (FNCA) yang berlangsung di Tokyo, sekali gus menzahirkan komitmen berterusan negara dalam pembangunan teknologi nuklear yang selamat dan mampan.
Mesyuarat yang dianjurkan oleh Japan Atomic Energy Commission bersama-sama Cabinet Office of Japan dan Ministry of Education, Culture, Sports, Science and Technology itu diadakan di Mita Conference Hall serta turut disertai secara maya melalui platform Webex.
Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohammed Zin membentangkan cadangan projek baharu bertajuk “Public Information on Nuclear Energy” di bawah sektor tematik Nuclear Infrastructure Strengthening bagi tempoh 2026–2028 yang bertujuan untuk membangunkan garis panduan komunikasi awam nuklear serantau, memperkukuh kapasiti negara anggota dan meningkatkan pemahaman masyarakat melalui pendekatan komunikasi yang lebih tersusun serta bersepadu.

Selain pembentangan projek, mesyuarat tersebut turut menilai laporan kemajuan projek FNCA sedia ada, merancang aktiviti tahun mendatang dan menyelaras kerjasama teknikal antara negara anggota termasuklah aspek pembangunan kapasiti, perkongsian kepakaran serta hala tuju strategik bagi memastikan setiap inisiatif memberikan impak positif kepada pembangunan sosioekonomi.
Penyertaan ini membuka ruang kepada Malaysia untuk memperluas jaringan kerjasama teknikal, mengukuhkan kedudukan sebagai rakan strategik pembangunan infrastruktur nuklear di Asia serta berkongsi kepakaran dan pengalaman ke arah pembangunan teknologi nuklear yang efisien, selamat dan mampan.