Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membuktikan peranannya sebagai institusi yang responsif terhadap nadi masyarakat melalui kolaborasi strategik bersama dengan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).
Inisiatif ini merupakan satu manifestasi tanggungjawab sosial universiti untuk memindahkan kepakaran akademik kepada masyarakat secara terancang, selaras dengan aspirasi FSK, “Mengilham Harapan, Mencipta Masa Hadapan.”
Kerjasama ini berpaksikan kesedaran terhadap cabaran kompleks yang dihadapi oleh petugas PPDK dalam mengendalikan kanak-kanak berkeperluan khas, khususnya yang menghidap Kecelaruan Spektrum Autisme dan palsi serebrum.
Melalui sinergi ini, ilmu klinikal yang bersifat saintifik diterjemahkan kepada latihan praktikal yang bertujuan untuk memastikan petugas komuniti bukan sekadar memahami teori, malah kompeten dan yakin dalam melaksanakan intervensi berdasarkan realiti sebenar.
Sebagai langkah awal, bengkel intensif selama 14 jam telah diadakan pada 13 hingga 14 Februari 2026 di Klinik Terapi Cara Kerja dan Fisioterapi, FSK, UKM, melibatkan 20 orang peserta yang terdiri daripada guru dan petugas PPDK Semenyih.
Program ini mengetengahkan pendekatan multidisiplin, iaitu menggabungkan kepakaran ahli terapi pertuturan, ahli fisioterapi dan ahli terapi cara kerja bagi memastikan intervensi yang dijalankan menjadi lebih menyeluruh dan tidak terasing antara satu sama lain.
Inisiatif ini diterajui oleh SIHAT@UKM, sebuah pusat perkhidmatan yang diiktiraf oleh ISO 9001:2015, sekali gus menjamin kualiti tadbir urus yang tinggi. Kolaborasi ini bukan sekadar memindahkan kemahiran teknikal, tetapi merupakan usaha murni untuk memastikan kanak-kanak berkeperluan khas mendapat peluang yang adil demi masa hadapan yang inklusif dan bermakna.