Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan fungsi “Pengesan Penyakit Berjangkit” dalam aplikasi MySejahtera, membolehkan orang ramai memantau jumlah kes penyakit berjangkit yang dilaporkan di sekitar kawasan mereka secara mudah dan telus.
Menerusi fungsi baharu itu, pengguna aplikasi MySejahtera kini dapat melihat maklumat terkini berkaitan dengan lima penyakit utama, iaitu demam denggi, rabies, campak, tuberkulosis (Tibi) serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Langkah ini dilihat sebagai usaha KKM untuk memperkasakan rakyat dengan maklumat kesihatan awam yang sahih bagi mendorong tindakan pencegahan yang lebih proaktif dalam kalangan masyarakat.
Menurut kenyataan tersebut,
Orang ramai disarankan untuk menggunakan MySejahtera sebagai rujukan rasmi bagi mendapatkan maklumat kesihatan awam yang sahih dan terkini.
Aplikasi ini menekankan ciri mesra pengguna, iaitu pengguna hanya perlu mengetik ruangan “Cari” dalam aplikasi MySejahtera, kemudian memasukkan nombor poskod atau nama jalan kawasan yang dikehendaki. Sistem itu seterusnya akan memaparkan bilangan kes aktif yang dilaporkan bagi penyakit berkenaan di sekitar lokasi carian tersebut.
Pelancaran fungsi ini dilihat tepat pada masanya memandangkan negara masih berhadapan dengan ancaman berterusan penyakit berjangkit seperti denggi yang kerap mencatatkan lonjakan kes menjelang musim peralihan.
Dengan capaian kepada data kes yang lebih telus, ibu bapa, warga tua dan individu yang tinggal di kawasan berisiko tinggi dapat mengambil langkah berjaga-jaga dengan lebih awal.
KKM juga menekankan bahawa MySejahtera kekal sebagai platform kesihatan digital rasmi kerajaan. Orang ramai digesa agar sentiasa mengemas kini aplikasi MySejahtera kepada versi terkini dan menggunakannya secara aktif sebagai panduan dalam mengamalkan gaya hidup sihat serta mengambil langkah pencegahan yang bersesuaian dari semasa ke semasa.