Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Seiring dengan perbincangan global mengenai perlindungan kanak-kanak dalam ruang digital, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) pada 9 Februari lalu telah menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam sesi libat urus khas bagi meneliti tadbir urus permainan dalam talian di Malaysia.
Inisiatif tersebut menyatukan platform dan pembangun permainan global, pemain industri tempatan, organisasi masyarakat sivil, ahli akademik serta kumpulan advokasi keselamatan kanak-kanak yang mencerminkan sinergi dan kepelbagaian suara yang terlibat secara langsung dalam membentuk ekosistem permainan digital yang lebih bertanggungjawab.
Melalui sesi ini, semua pihak dihimpunkan dalam satu ruang perbincangan bersama-sama bagi memastikan isu risiko dan tanggungjawab dalam permainan dalam talian dapat diteliti secara lebih menyeluruh dan realistik, memandangkan cabaran dalam ekosistem permainan sering merentasi aspek komersial, sosial dan perlindungan pengguna.
Perbincangan ini turut menonjolkan ruang untuk memperkukuh langkah perlindungan melalui pilihan reka bentuk dan operasi yang bersesuaian tanpa menjejaskan kreativiti, inovasi mahupun kelestarian komersial industri.
Naib Pengerusi CMCF, Encik Claudian Navin Stanislaus, menegaskan bahawa kelestarian industri permainan dalam talian bergantung pada kepercayaan pengguna.
Katanya,
Ekosistem permainan yang mampan bergantung pada kepercayaan yang terhasil apabila perlindungan pemain, khususnya kanak-kanak dianggap sebagai tanggungjawab teras seiring dengan inovasi dan pertumbuhan. Tidak kira sebaik mana pun niatnya, tiada apa-apa yang dapat dicapai jika dilakukan secara bersendirian. Perbincangan seperti ini membantu merapatkan realiti industri dengan jangkaan masyarakat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Puan Mediha Mahmood menjelaskan bahawa isu tadbir urus permainan tidak seharusnya dilihat sebagai konflik antara industri dengan kesejahteraan pengguna.
Jelasnya,
Objektifnya bukan untuk melihat isu ini sebagai pertentangan antara industri dengan kesejahteraan pengguna, sebaliknya untuk mengiktiraf bahawa kelestarian ekosistem permainan bergantung pada kedua-duanya. Dengan mendengar pandangan pihak yang membangunkan permainan serta mereka yang berusaha melindungi kanak-kanak dan pengguna, perbincangan tadbir urus dapat kekal berpaksikan realiti sebenar cara permainan beroperasi.
Perbincangan ini turut membuka ruang kepada peserta untuk mengenal pasti cabaran utama dalam ekosistem permainan dalam talian, termasuk dari segi reka bentuk, perlindungan pengguna muda serta tanggungjawab bersama antara industri dengan pihak berkepentingan.
Berdasarkan dapatan awal, CMCF kini berada pada peringkat permulaan pembangunan Subkod Permainan Digital di bawah Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Kod Kandungan) yang bertujuan untuk menyediakan panduan praktikal berasaskan risiko yang selari dengan realiti permainan dalam talian kini, khususnya dalam landskap digital yang semakin kompleks dan melibatkan pengguna merentasi pelbagai peringkat umur.
Melalui libat urus berterusan, CMCF kekal komited untuk menyumbang kepada pembentukan persekitaran digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab di samping memastikan industri permainan Malaysia terus berkembang sebagai sektor yang inovatif, mampan dan berdaya saing pada peringkat global.