Diterbitkan pada 12 Februari 2026, 16:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Hampir separuh daripada ratusan kontena sisa elektronik atau e-sisa (e-waste) yang dibawa masuk secara haram ke Malaysia telah berjaya dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup mendedahkan bahawa sebanyak 428 buah kontena daripada 701 buah kontena yang ditahan telah dipulangkan, susulan pemeriksaan menyeluruh yang melibatkan 1241 kontena di seluruh negara.

Pemeriksaan itu dilakukan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia bersama-sama Jabatan Alam Sekitar (JAS), lembaga pelabuhan serta beberapa agensi penguatkuasaan lain.

YB Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat pada 10 Februari lalu, susulan pertanyaan Ahli Parlimen Kota Melaka, YB Khoo Poay Tiong berhubung dengan larangan import sisa elektronik yang berkuat kuasa serta-merta pada 4 Februari 2026.

Beliau turut menjelaskan bahawa JAS telah mengeluarkan notis arahan pemulangan kepada semua pihak yang terlibat berdasarkan peruntukan Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dengan merujuk maklumat Manifest Kastam atau bil muatan (bill of lading) bagi setiap kontena.

Tegasnya,

Pemulangan ke negara asal ialah pilihan dan tindakan utama kerajaan, selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Basel berkaitan dengan pergerakan rentas sempadan sisa berbahaya.

Sekiranya pemulangan tidak dapat dilaksanakan, YB Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata kerajaan akan beralih kepada pengurusan dan pelupusan e-sisa secara selamat melalui kaedah Environmentally Sound Management (ESM) yang hanya akan dilakukan di fasiliti berlesen yang diiktiraf oleh JAS bagi memastikan alam sekitar dan kesihatan awam terpelihara.

Bagi kontena yang masih ditahan oleh agensi lain pula, beliau berkata prosesnya mengambil masa yang lebih lama kerana melibatkan prosiding mahkamah dan pelupusan hanya boleh dilaksanakan setelah semua urusan perundangan selesai.

YB Datuk Seri Arthur Joseph Kurup turut menegaskan bahawa Malaysia kini mengambil pendekatan lebih tegas dengan mengenakan larangan mutlak terhadap import sisa elektronik, ekoran Malaysia sebelum ini telah dikenal pasti sebagai satu daripada destinasi pembuangan e-sisa antarabangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi