Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTamparuli – Pelari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Sabah berjaya menawan puncak Bukit Perahu dalam satu program pendakian penuh bertenaga yang bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah memperkukuh semangat setia kawan dalam kalangan warga kerja dan rakan strategik.

Program yang diterajui oleh Encik Azlan Loso bersama-sama Encik Rosley Jumat itu melibatkan penyertaan 12 orang pendaki yang terdiri daripada kakitangan MARDI Sabah dan rakan strategik bagi mengeratkan silaturahim melalui aktiviti fizikal mencabar walaupun dilaksanakan di luar waktu pejabat.

Pendakian menuju puncak setinggi 1106 meter itu menjadi lebih bermakna apabila bendera MARDI berjaya dikibarkan sebagai simbol semangat juang dan kebersamaan pasukan.
Menurut Encik Azlan Loso, beliau menzahirkan rasa syukur atas kelancaran program sulung bagi kalendar 2026 serta menghargai sokongan penaja yang menyediakan hamper kepada semua peserta sebagai tanda penghargaan.

Aktiviti pendakian sejauh 270 meter dari kaki bukit ini bukan sekadar riadah, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan warga MARDI Sabah dalam mengekalkan kecergasan, sekali gus memastikan mereka sentiasa bertenaga untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat, khususnya di negeri Sabah.