Diterbitkan pada 7 Februari 2026, 09:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan Malaysia mempelawa orang ramai memberi pandangan mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem penjagaan kesihatan negara menerusi Program Perundingan Awam AI Nation 2030: Strategy and Action Plan for Healthcare yang berlangsung dari 21 Januari hingga 28 Februari 2026.

Program ini bertujuan untuk mengumpul maklum balas pelbagai pihak bagi memastikan penggunaan teknologi AI dalam perkhidmatan kesihatan dilaksanakan secara bertanggungjawab, beretika dan inklusif.

Perundingan tersebut terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuklah orang awam, pesakit, ahli profesional kesihatan, pemain industri serta pertubuhan masyarakat sivil.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan melalui pendekatan menyeluruh kerajaan dengan Universiti Malaya sebagai rakan strategik, selain melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) dan Kementerian Digital.

Penggunaan AI dalam bidang kesihatan dijangkakan mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan termasuklah aspek diagnosis penyakit, rawatan pesakit serta pengurusan data kesihatan.

Walau bagaimanapun, kerajaan menegaskan bahawa pelaksanaan teknologi ini perlu mengambil kira kepentingan semua pihak agar tidak menimbulkan kesan negatif kepada masyarakat.

Orang ramai yang berminat boleh mengemukakan pandangan melalui borang perundingan dalam talian atau dengan mengimbas kod QR yang disediakan pada poster rasmi program.

Perundingan awam ini merupakan langkah proaktif bagi memastikan dasar serta perancangan berkaitan dengan AI dalam sektor kesihatan memenuhi keperluan rakyat sambil mengekalkan piawaian etika dan keselamatan yang tinggi, selain membantu kerajaan merangka strategi lebih komprehensif, sejajar dengan keperluan sebenar masyarakat.

Poster Program Perundingan Awam AI Nation 2030: Strategy and Action Plan for Healthcare.
Kredit Foto: Universiti Malaya
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi