Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi mengukir nama dalam sejarah program angkasa lepas negara apabila nanosatelit UiTMSAT-2 berjaya dilepaskan ke orbit dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Isnin lalu.
Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, pencapaian ini bukan sekadar kejayaan universiti itu semata-mata, malah turut membanggakan Malaysia dan rantau ASEAN.
Ujar beliau,
Pelancaran ini merupakan saat bersejarah untuk UiTM, Malaysia dan ASEAN. Kita berjaya melancarkan nanosatelit kedua selepas UiTMSAT pada tahun 2018.
Menurutnya, UiTMSAT-2 dilepaskan dari modul Kibo di ISS pada jam 6.52 petang waktu Malaysia, bersama-sama dua satelit lain dari negara berbeza.
Beliau berkata, yang menariknya, satelit ini dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan UiTM dengan kerjasama universiti dari Filipina dan Thailand dan mendapat sokongan teknikal dari Jepun.
Jelasnya,
Reka bentuknya merupakan hasil kepakaran kita sendiri. Dalam tempoh pembangunan ini, kita turut melatih pelajar dan penyelidik dari negara ASEAN.
Beliau turut memaklumkan bahawa walaupun pelancaran ini beberapa kali tertangguh akibat cuaca angkasa yang tidak menentu, pelancaran ini akhirnya berjaya dilaksanakan selepas melalui ujian teknikal yang sangat ketat.
Selepas dilepaskan ke orbit, panel solar dan antena satelit akan terbuka secara automatik untuk membolehkan penghantaran isyarat ke stesen bumi di seluruh dunia, termasuk stesen bumi UiTM di Shah Alam.
Ujarnya lagi,
Isyarat pertama yang kita terima nanti akan membuktikan reka bentuk dan pelancaran ini benar-benar berjaya.
Beliau menambah, UiTMSAT-2 dilengkapi dengan modul magnet ringan yang membolehkannya menghalakan kedudukan kembali ke bumi bagi memastikan komunikasi berfungsi dengan baik, walaupun tidak mempunyai sistem pendorong.
Satelit ini dijangka beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun, namun jangka hayatnya bergantung pada keadaan cuaca angkasa.
Kejayaan ini sekali lagi membuktikan keupayaan Malaysia dalam bidang teknologi angkasa lepas dan kerjasama serantau ASEAN.