Diterbitkan pada 6 Februari 2026, 10:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pokok Sena – Klinik Desa Jabi di Pokok Sena, Kedah kini mula beroperasi sepenuhnya selepas dirasmikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Mahathar Abd Wahab pada 5 Februari 2026.

Perasmian klinik desa ini menandakan usaha berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengukuhkan perkhidmatan kesihatan primer terutamanya di kawasan luar bandar.

Ujarnya,

Perasmian ini mencerminkan komitmen KKM untuk memastikan rakyat di luar bandar turut menikmati capaian kepada kemudahan kesihatan yang berkualiti.

Klinik Desa Jabi yang mula dibangunkan pada bulan Mei 2024 akan menjadi barisan hadapan perkhidmatan kesihatan awam kepada masyarakat setempat. Antara perkhidmatan utama yang ditawarkan termasuklah penjagaan kesihatan ibu dan anak, rawatan pesakit luar, lawatan ke rumah serta perancangan keluarga.

Klinik ini akan turut menjalankan program promosi dan pendidikan kesihatan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan.

Penaiktarafan klinik ini pada bulan April 2025 membolehkannya menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada seramai 7475 orang penduduk yang tinggal di 19 buah kampung dan sebuah taman perumahan dalam kawasan operasi Klinik Desa Jabi.

Hadir sama pada majlis perasmian tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Ismuni Bohari; Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Dato’ Dr. Norsiah Haji Ali; Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Nor’Aishah Abu Bakar serta Pegawai Daerah Pokok Sena, Encik Nasrankamil Noh.

Pembukaan Klinik Desa Jabi merupakan satu berita gembira kepada penduduk kawasan Pokok Sena yang kini mempunyai capaian lebih mudah kepada kemudahan kesihatan berkualiti tanpa perlu ke bandar yang berdekatan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi