Diterbitkan pada 2 Februari 2026, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Beluran – Seorang ibu hamil berjaya dipindahkan dari Klinik Kesihatan Abuan ke Hospital Beluran hari ini hasil kerjasama pelbagai agensi selepas jambatan di Kampung Abuan rosak.

Kerosakan jambatan tersebut menyebabkan kenderaan termasuk ambulans tidak dapat melalui kawasan berkenaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pesakit yang memerlukan rawatan lanjut.

Dengan mengambil kira aspek keselamatan dan keperluan rawatan berterusan, pihak Klinik Kesihatan Abuan bersama-sama Hospital Beluran membuat keputusan untuk memindahkan pesakit tersebut ke hospital memandangkan kerja pembaikan jambatan dijangka mengambil masa yang agak lama.

Langkah proaktif ini diambil bagi mengelakkan sebarang risiko yang boleh membahayakan kesihatan ibu dan kandungannya.

Operasi pemindahan yang berjalan lancar itu melibatkan kerjasama erat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang bertindak pantas memberikan bantuan.

Turut terlibat dalam memastikan kejayaan operasi ini ialah Jabatan Perancang Bandar Wilayah Paitan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Pejabat Daerah Paitan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah Beluran, Polis Diraja Malaysia serta Pejabat Kesihatan Kawasan Beluran.

Kakitangan Klinik Kesihatan Abuan juga memainkan peranan penting sepanjang proses pemindahan bagi memastikan keselamatan pesakit terjaga.

Kejayaan operasi pemindahan ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan dapat disampaikan kepada rakyat tanpa mengira sebarang cabaran dan keadaan.

Kejayaan ini turut mencerminkan kerjasama yang kukuh antara pelbagai agensi demi menjaga kesejahteraan masyarakat, terutama dalam situasi kecemasan selain memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, dengan semua agensi bersedia bertindak pantas apabila diperlukan.

Kredit Foto: Telegram Kementerian Kesihatan Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi