Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Malaysia sering digambarkan sebagai syurga tropika dengan naungan hutan hujan yang menghijau sepanjang tahun. Namun demikian, di sebalik panorama hijau yang menenangkan, langit tropika kita menyimpan satu rahsia yang membimbangkan. Malaysia berada di tangga ketiga dunia dari segi kekerapan petir selepas Rwanda dan Congo, menjadikannya antara lokasi paling berisiko dilanda ribut petir. Kedudukan Malaysia di zon khatulistiwa yang panas dan lembap, ditambah dengan kekerapan pembentukan awan kumulonimbus, menjadikan guruh dan kilat seolah-olah “pengunjung tetap” hampir sepanjang tahun.

Petir bukan sekadar cahaya yang membelah langit atau bunyi guruh yang menggetarkan dada. Setiap serangan membawa tenaga luar biasa. Purata kekuatannya di kawasan tropika seperti Malaysia berada antara 30 kiloampere (kA) hingga 50 kA. Akan tetapi, dalam keadaan tertentu, arus itu boleh mencecah 200 kA. Pada tahap ini, petir menghasilkan suhu sehingga 30 ribu darjah Celsius, iaitu lima kali ganda lebih panas daripada permukaan matahari. Suhu ini cukup untuk meleburkan logam. Bayangkan kesannya apabila arus dan haba setinggi itu menyerang sebatang pokok hidup yang sarat dengan getah dan air, iaitu kulit kayu meletup akibat tekanan wap, tisu dalaman terbakar, dahan besar patah dan akar mati perlahan-lahan apabila arus elektrik merebak ke dalam tanah.

Naungan Dipterokarpa di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong

Di kampus FRIM, Kepong, berdiri megah koleksi pokok hutan gergasi daripada jenis dipterokarpa yang menjadi nadi ekosistem hutan hujan tropika Malaysia. Spesies pokok seperti Rubroshorea parvifolia (Meranti Sarang Punai) dan Dryobalanops aromatica (Kapur) menjulang setinggi bangunan 12 tingkat, menjadikannya umpama tiang seri yang menghubungkan bumi dengan langit. Keindahan dirian naungan hutan ini bukan sahaja mengagumkan setiap mata yang memandang, malah turut menyimpan khazanah ekonomi, ekologi, dan warisan yang tidak ternilai.

Sejak dahulu, pokok dipterokarpa menjadi sumber industri perkayuan negara. Dari sudut ekologi pula, setiap bahagian pokok daripada akar, batang dan kanopi menyediakan habitat kepada pelbagai jenis hidupan termasuk pelbagai spesies burung, mamalia dan serangga serta mikroorganisma tanah. Pada masa yang sama, pokok gergasi ini berfungsi sebagai penyerap karbon semula jadi yang membantu menyejukkan iklim dunia. Dari perspektif botani pula, pokok dipterokarpa merupakan simbol hutan hujan tropika Malaysia yang menjadi rujukan penyelidik dari seluruh dunia.

Namun demikian, ketinggian serta julangan kanopi pokok dipterokarpa ini juga membawa risiko. Pokok ini sering menjadi sasaran utama petir. Menerusi satu serangan sahaja boleh memusnahkan satu habitat mikro yang bergantung pada pokok ini, umpamanya burung kehilangan tempat bersarang, tanah terdedah kepada hakisan, manakala spesies tumbuhan lain boleh terjejas apabila rantaian ekologi terganggu.

Antara pokok yang mati akibat serangan petir di kampus FRIM.

Statistik Kematian Pokok Akibat Serangan Petir

Antara tahun 2016 hingga 2023, FRIM merekodkan sebanyak 137 batang pokok yang mati akibat serangan petir. Rajah 1 menunjukkan nilai ekonomi purata pokok dipterokarpa di FRIM yang dianggarkan sekitar RM168,010 mengikut kaedah Thyer (Rohana et al., 2020). Jumlah keseluruhan kerugian akibat kehilangan 137 pokok ini boleh mencecah RM23 juta.

Rajah 1 Rekod kematian pokok akibat petir di FRIM dari tahun 2016 hingga 2023.

Namun demikian, kerugian sebenar jauh melangkaui angka ringgit. Setiap kematian sebatang gergasi hutan meninggalkan jurang kanopi hutan yang besar sekali gus boleh menjejaskan kestabilan ekosistem. Habitat mikro akan hilang, kitaran karbon terganggu dan ruang kosong yang ditinggalkan membuka peluang kepada spesies tumbuhan invasif mengambil alih. Kehilangan satu pokok besar bermakna kehilangan satu ekosistem kecil yang sukar diganti.

Kawasan Panas Serangan Petir 

Pemantauan menunjukkan bahawa terdapat beberapa kawasan di FRIM yang kerap menjadi sasaran serangan petir, antaranya di Field 9. Dalam beberapa kes, hanya satu serangan petir sudah cukup untuk merosakkan lebih daripada satu pokok yang berhampiran kerana arus elektrik merebak melalui sistem akar pokok yang saling bersambung. Pokok Dryobalanops aromatica (Kapur), misalnya sering direkodkan menerima serangan berulang. Kesan kerosakannya bukan sahaja merosakkan batang dan kanopi pokok tersebut, malah turut menjejaskan pokok yang berhampiran di sekitarnya. Begitu juga dengan Rubroshorea parvifolia (Meranti Sarang Punai), pokok tertinggi di Arboretum Dipterokarpa di FRIM yang seakan-akan menjadi tarikan serangan atau “magnet kilat”.

Kawasan Field 9 yang kerap diserang petir (simbol bulatan menunjukkan kesan pokok dipterokarpa yang mati).

Inovasi FRIM: Aplikasi Sistem Perlindungan Pokok 

Dengan menyedari ancaman serius terhadap dirian pokok, penyelidik FRIM telah memperkenalkan Sistem Perlindungan Pokok daripada Petir (Tree Protection System) bermula pada tahun 2022. Sistem ini direka bentuk dengan prinsip mesra pokok dan mematuhi piawaian antarabangsa (MS IEC 62305-3). Komponen sistem ini terdiri daripada air terminal yang dipasang di puncak kanopi pokok untuk memerangkap serangan petir, kabel konduktor bersalut paip High-Density Polyethylene (HDPE) yang menyalurkan arus elektrik tanpa mencederakan kulit pokok dan rod bumi yang membawa arus terus ke dalam tanah dengan selamat. Keunikan sistem ini ialah reka bentuknya yang tidak mengganggu pertumbuhan pokok, sekali gus membolehkan pokok terus hidup subur walaupun dilengkapi dengan sistem perlindungan pokok.

Di samping itu, keberkesanan sistem perlindungan pokok yang dibangunkan ini tidak terhad kepada pokok yang dipasang sahaja. Pemasangan pada sebatang pokok tinggi mampu memberikan perlindungan kepada kawasan di sekitarnya, iaitu dalam radius antara 45 darjah hingga 120 darjah bergantung pada ketinggian dan lebar kanopi pokok. Dengan kata lain, melindungi satu pokok melalui aplikasi Sistem Perlindungan Pokok ini bermakna melindungi ekosistem kecil di sekelilingnya. Sistem ini juga dilengkapi dengan sistem pengiraan yang boleh merekodkan jumlah serangan petir pada setiap pokok yang dipasang.

Data tertinggi direkodkan di FRIM sejak pemasangan sistem perlindungan petir  pada tahun 2022.

Selepas sistem perlindungan dipasang pada sebatang pokok Meranti Sarang Punai, rekod menunjukkan bahawa pokok ini telah menerima lebih 967 sambaran petir pada tahun 2024. Namun demikian, pokok ini masih teguh berdiri tanpa kerosakan besar dan bukti jelas keberkesanan inovasi sistem perlindungan pokok yang dilaksanakan oleh FRIM.

Lokasi pemasangan sistem perlindungan petir di FRIM.

Pelaburan untuk Masa Hadapan

Kos pemasangan sistem perlindungan pokok ini mungkin kelihatan agak tinggi pada awalnya, namun kos ini jauh lebih rendah berbanding dengan kerugian akibat kehilangan pokok. Berdasarkan nilai ekonomi pokok, kematian 10 pokok tambahan akibat serangan petir boleh menyebabkan kehilangan dirian pokok yang mempunyai anggaran nilai ekonomi sebanyak RM1.68 juta. Angka itu tidak termasuk kos pengurusan penebangan, pemulihan ekosistem, penggantian pokok baharu dan kehilangan fungsi pokok sebagai penyerap karbon serta habitat untuk biodiversiti.

Selain nilai ekonomi, aspek keselamatan juga tidak boleh diabaikan. FRIM menerima ribuan pengunjung setiap tahun. Pokok yang rosak dan mati akibat serangan petir berisiko dan mengancam keselamatan pengunjung, kakitangan dan harta benda. Perlindungan pokok daripada serangan petir ini secara langsung mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan kawasan FRIM kekal selamat untuk aktiviti rekreasi, pendidikan, dan penyelidikan.

Sains, Teknologi dan Konservasi

Dirian pokok dipterokarpa merupakan warisan hutan yang tidak ternilai. Pokok ini bukan sekadar sumber kayu, malah menjadi habitat kepada kepelbagaian biologi dan simbol kebanggaan negara. Namun demikian, ancaman petir yang semakin meningkat telah meninggalkan kesan besar terhadap ekosistem dan ekonomi.

Inovasi FRIM melalui Sistem Perlindungan Pokok daripada Petir membuktikan bahawa pendekatan sains, teknologi, dan konservasi mampu menjadi benteng pertahanan yang berkesan daripada ancaman petir. Kejayaan melindungi pokok Rubroshorea parvifolia dan Dryobalanops aromatica merupakan contoh bahawa usaha ini bukan sahaja boleh menyelamatkan pokok, tetapi juga melindungi ekosistem.

Dengan melindungi satu pokok bermakna melindungi habitat flora dan fauna, menjaga keselamatan manusia dan harta benda serta memelihara warisan hijau negara. Dengan langkah proaktif ini, FRIM bukan sahaja menjaga koleksi pokok berharga daripada ancaman dari langit, tetapi juga memastikan khazanah hutan tropika Malaysia terus terpelihara untuk generasi yang akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi