Diterbitkan pada 28 Januari 2026, 14:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh kesiapsiagaan melalui saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa, khususnya melibatkan pengembara dari negara berisiko.

Menurut KKM dalam satu kenyataan, pihaknya turut mempertingkatkan pengawasan berterusan, pengukuhan kapasiti makmal negara, kesiapsiagaan fasiliti kesihatan, pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan termasuklah amalan pencegahan dan kawalan infeksi serta kerjasama rentas sektor dan antara agensi untuk melindungi kesihatan awam dan mencegah kemunculan semula penyakit Nipah di negara ini.

Jelas KKM,

Walaupun Malaysia tidak melaporkan sebarang kes penyakit ini sejak tahun 1999, KKM kekal berwaspada terhadap penularan risiko rentas sempadan susulan kejadian jangkitan secara saporadik di beberapa negara lain.

KKM berkata, pemantauan berterusan turut dipertingkatkan melalui kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia melalui pendekatan One Health.

Tambahnya, tiada virus Nipah dikesan dalam kalangan haiwan domestik atau liar setakat ini.

KKM juga menasihatkan orang awam, khususnya pengembara ke kawasan berisiko tinggi untuk menjaga kebersihan diri, mengelakkan bersentuhan dengan haiwan yang sakit atau mengambil produk yang disyaki tercemar bagi mencegah jangkitan virus ini.

Ujarnya,

Pengembara dari kawasan yang berisiko dinasihatkan untuk memantau status kesihatan kendiri dan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran sekiranya tidak sihat.

KKM memaklumkan bahawa penyakit Nipah merupakan penyakit berjangkit zoonotik yang disebabkan oleh virus Nipah dengan keluang sebagai perumah semula jadi.

Jangkitan kepada manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan cecair badan haiwan yang dijangkiti seperti air liur, darah dan rembesan, pengambilan makanan yang telah tercemar dan kontak dengan cecair badan individu yang dijangkiti.

KKM berkata, gejala seperti demam, sakit kepala, muntah, batuk, susah bernafas, sawan, kekeliruan dan kebingungan lazimnya muncul selepas tempoh pengeraman antara lima hari hingga 14 hari.

Ujarnya lagi, komplikasi penyakit ini termasuklah radang otak dan masalah pernafasan dengan kadar kematian antara 40 peratus hingga 75 peratus.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi