Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau — Usaha memperkukuh ekosistem inovasi dalam kalangan murid sekolah terus diperkasa apabila Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menjalinkan sinergi strategik bersama-sama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin, Kangar melibatkan pemenang pertandingan Young Innovator 2025.
Sesi perbincangan strategik telah berlangsung dengan pelibatan seorang guru pengiring dan empat orang murid inovator SMK Syed Sirajuddin yang mencipta kejayaan dalam pertandingan berprestij berkenaan.
Perbincangan bertujuan untuk merangka hala tuju kolaborasi berimpak tinggi antara universiti dengan sekolah dalam pembangunan inovasi murid dengan memfokuskan penyelarasan kepakaran akademik universiti dengan keperluan inovasi murid sekolah, khususnya dalam aspek penambahbaikan reka bentuk, nilai tambah produk serta potensi pembangunan dan pengkomersialan pada peringkat seterusnya.

Turut dibincangkan ialah peluang kolaborasi dalam penganjuran program inovasi pada peringkat sekolah, termasuk pelibatan pakar UiTM sebagai panel penilai dan mentor.
Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Jaringan Industri), UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Prof. Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail amat mengalu-alukan kehadiran delegasi SMK Syed Sirajuddin ke universiti ini dan menyifatkan pertemuan tersebut sebagai langkah awal yang signifikan ke arah pembinaan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dengan sekolah.
Beliau turut menzahirkan komitmen UiTM Cawangan Perlis dalam menyokong pembangunan inovasi pelajar melalui perkongsian kepakaran, bimbingan akademik serta pemerkasaan ekosistem inovasi yang mampan.
Katanya,
UiTM Cawangan Perlis amat mengalu-alukan kehadiran pihak SMK Syed Sirajuddin dan berharap pertemuan ini menjadi titik permulaan kepada kerjasama strategik yang berterusan dalam memperkasa inovasi serta bakat muda pada peringkat sekolah.
Sementara itu, YBrs. Puan Nur Syafiqah Rahim, Koordinator Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran (UPIK) berkata, universiti berperanan sebagai pemangkin kepada pembudayaan inovasi melalui pendedahan awal kepada murid sekolah.
Jelasnya,
Antara peranan utama universiti ialah menguar-uarkan program dan pertandingan inovasi, menggalakkan penyertaan serta melaksanakan sesi perkongsian seperti bengkel idea, pembinaan poster dan pemikiran inovatif. Pendedahan ini membantu pelajar memahami proses menjana idea dan menyelesaikan masalah secara kreatif.
Mengulas sokongan UiTM terhadap pemenang Young Innovator 2025, beliau berkata universiti membantu menilai kekuatan dan kelemahan produk sedia ada sebelum menambah baik aspek reka bentuk, fungsi dan potensi pasaran melalui kepakaran akademik.
Tambahnya,
Bimbingan akan turut merangkumi kemahiran pembentangan, penjenamaan dan pembangunan idea supaya inovasi murid bukan sahaja kompetitif dalam pertandingan, malah berpotensi ke arah pengkomersialan.
Beliau turut menegaskan bahawa kesinambungan inovasi perlu dipastikan agar tidak terhenti di pentas pertandingan, sebaliknya sokongan berbentuk nasihat teknikal, penilaian pasaran dan jaringan kepakaran universiti mampu membantu inovasi berkembang ke peringkat pembangunan sebenar serta memberikan impak kepada masyarakat.
Dalam konteks pemanfaatan kepakaran dan kemudahan universiti, pensyarah UiTM berpengalaman luas dalam penyelidikan, inovasi dan kerjasama industri, sekali gus membolehkan panduan diberikan berasaskan standard industri.
Kerjasama strategik antara universiti dengan sekolah ini dilihat signifikan dalam melahirkan inovator muda yang berdaya saing melalui pendedahan awal kepada ekosistem inovasi, budaya penyelidikan dan pertandingan peringkat lebih tinggi.
Pada masa yang sama, kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan inovasi sebagai sebahagian pembangunan holistik murid turut diperkukuh. Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran (UPIK) UiTM Perlis pula memainkan peranan sebagai jambatan strategik yang menghubungkan sekolah, universiti dan industri melalui penganjuran program, pelibatan pakar sebagai juri dan mentor serta pembukaan ruang kolaborasi kepakaran.
Tambahnya,
Universiti amat berbangga dengan keupayaan murid sekolah menghasilkan inovasi berpotensi tinggi dan berharap usaha ini diteruskan ke arah penyelesaian masalah sebenar masyarakat. Aktiviti inovasi bukan sahaja membina kreativiti dan pemikiran kritis, malah meningkatkan kemahiran komunikasi, pengurusan masa serta keyakinan diri yang penting untuk kebolehpasaran masa hadapan.
UiTM Cawangan Perlis turut diwakili oleh YBrs Dr. Nur Wahidah Fuad, Koordinator Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, YBrs. Encik Mohammad Hafiz Ismail, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik serta YBrs. Puan Nor Shida Hussain, Penolong Pendaftar Kanan Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri.
Langkah awal sinergi ini diharap dapat memperkukuh ekosistem inovasi negara, memupuk bakat muda sejak peringkat sekolah serta membina jalinan kerjasama berimpak tinggi antara institusi pendidikan demi pembangunan sains dan teknologi yang mampan.