Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPuchong – Mahasiswa Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) Semester 5, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Antarapersonal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menganjurkan program khidmat komuniti, Hearts in Harmony 2026 di Yayasan Noor Manzil, Puchong, Selangor pada 17 Januari lalu.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Fakulti Pergigian UiTM Kampus Sungai Buloh serta sokongan Nestlé Malaysia sebagai penaja bersama ini melibatkan sebanyak 21 orang penghuni Yayasan Noor Manzil, terdiri daripada anak-anak yatim piatu, golongan asnaf serta warga emas.
Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran kesihatan, khususnya penjagaan kesihatan mulut dan gigi, di samping memupuk nilai empati serta keterangkuman sosial dalam kalangan komuniti yang memerlukan.
Sebagai peneraju program, pelibatan mahasiswa memainkan peranan penting dalam perancangan komunikasi strategik, pengurusan pelibatan komuniti serta penyampaian mesej berasaskan pendekatan komunikasi kesihatan dan interpersonal.
Inisiatif ini turut menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang mengintegrasikan teori komunikasi dengan realiti masyarakat.

Komponen kesihatan program ini diperkukuh melalui pelibatan Fakulti Pergigian UiTM, dengan perkongsian santai berkenaan dengan penjagaan kesihatan gigi, demonstrasi memberus gigi serta pemeriksaan gigi percuma kepada penghuni yayasan ini.
Pendekatan interaktif dan mesra komuniti digunakan bagi memastikan penyampaian mesej kesihatan lebih berkesan dan mudah difahami.

Sokongan Nestlé Malaysia sebagai penaja bersama turut memperkukuh mesej berkaitan dengan pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat, selari dengan komitmen syarikat dalam menyokong pembangunan komuniti dan kesejahteraan sosial rakyat Malaysia.
Walaupun berteraskan pendidikan kesihatan, program ini turut memberikan penekanan kepada pembinaan hubungan sosial melalui aktiviti interaktif seperti Healthy Habit Relay Game dan permainan pendidikan kesihatan yang menggalakkan komunikasi, kerjasama serta keyakinan diri dalam kalangan peserta.