Diterbitkan pada 19 Januari 2026, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Rawang – Seramai 76 orang pelajar tahun akhir Program Sains Bioperubatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia telah turun padang dalam Pameran Kesihatan Komuniti, program bersama-sama Biomed Volunteering di Masjid Kampung Melayu Batu 16, Rawang.

Pameran ini merupakan sebahagian daripada pengisian kursus Pengenalan kepada Kesihatan Komuniti bagi kursus tahun akhir yang diselaraskan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Arimi Fitri Mat Ludin, manakala pelaksanaan kerja lapangan diketuai oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Ismarulyusda Ishak, telah berjaya menarik seramai hampir 100 orang pengunjung dari pelbagai peringkat usia.

Program ini juga merupakan aktiviti tahunan Kelab Sains Bioperubatan di bawah inisiatif Biomedical Volunteering, dengan bimbingan YBrs. Dr. Farah Wahida Ibrahim, selaku penasihat kelab dan penasihat program dan seramai 41 orang ahli Kelab Sains Bioperubatan yang terdiri daripada pelajar tahun satu hingga tahun tiga turut menyumbang tenaga dalam menjayakan program ini, menjadikannya satu kolaborasi merentas tahun pengajian yang amat bermakna.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Ismarulyusda Ishak yang juga merupakan Penolong Dekan (Pengajaran dan Citra), Fakulti Sains Kesihatan, manakala kata alu-aluan wakil masjid disampaikan oleh Nazir Masjid Kampung Melayu Batu 16, Rawang, iaitu Tuan Mohd Ehwan Sarwani, yang memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran program ini.

Dalam ucapan perasmian, YBrs. Prof. Madya Dr. Ismarulyusda Ishak menekankan bahawa saringan kesihatan dan pendidikan kesihatan komuniti amat penting kerana penyakit tidak berjangkit semakin meningkat dan ramai golongan muda masih tidak sedar bahawa mereka sebenarnya berisiko.

Ujarnya,

Hasil dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi  2023, satu daripada tiga orang dewasa mengalami tekanan darah tinggi, manakala satu daripada enam orang dewasa menghidap kencing manis. Situasi ini menjadikan program berasaskan komuniti seperti ini relevan kerana membantu masyarakat membuat tindakan awal melalui saringan dan ilmu kesihatan yang mudah difahami.

Turut hadir memeriahkan acara ialah pensyarah dari Fakulti Sains Kesihatan, iaitu YBrs. Prof. Dr. Hidayatulfathi Othman, YBrs. Prof. Dr. Noraziah Mohd Zin, YBrs. Dr. Vanitha Marriappan, YBrs. Dr. Shirley Tang Gee Hoon, YBrs. Prof. Madya Dr. Nur Zakiah Mohd Saat dan YBrs. Dr. Nurulamin Abu Bakar.

Seusai majlis perasmian, YBrs. Dr. Nurulamin Abu Bakar telah menyampaikan forum kesihatan kepada para hadirin yang menyentuh aspek penjagaan kesihatan yang praktikal dan relevan untuk komuniti setempat.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Daerah Gombak yang menyediakan saringan kesihatan percuma, termasuk pemeriksaan tekanan darah dan ujian glukosa darah. Kehadiran mereka menyerlahkan lagi pentingnya kerjasama antara universiti, komuniti dan agensi kesihatan kerajaan dalam memperkasa amalan pencegahan serta gaya hidup sihat.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Daerah Gombak.

Yang menariknya, pelajar tahun akhir diwajibkan menghasilkan bahan pendidikan kesihatan berbentuk poster informatif dan permainan interaktif sebagai usaha mendidik masyarakat secara santai namun bermaklumat. Pendekatan ini bukan sahaja mengasah kemahiran komunikasi dan penyampaian maklumat, malah memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat setempat.

Lapan topik kesihatan awam telah dipilih yang mencakupi pelbagai aspek penting dalam penjagaan kesihatan individu dan komuniti, iaitu diabetes, kebersihan dan penjagaan diri, ancaman denggi, kesihatan seksual wanita, aktiviti fizikal dan kesihatan, probiotik dan kesihatan, pemakanan sihat serta kesihatan mental.

Program ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada masyarakat setempat, malah menjadi medan pembelajaran sebenar kepada pelajar melalui pendekatan pembelajaran berasaskan khidmat (service learning) selain membina kemahiran komunikasi kesihatan, meningkatkan keyakinan pelajar dan menghubungkan ilmu akademik dengan realiti komuniti.

Program ini juga membuktikan komitmen Program Sains Bioperubatan dan Fakulti Sains Kesihatan dalam usaha berterusan universiti untuk mendekatkan pendidikan kesihatan kepada komuniti dengan kerjasama industri, agensi kesihatan kerajaan dan alumni secara holistik dan berimpak tinggi dan memenuhi keperluan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 3), iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi