Diterbitkan pada 19 Januari 2026, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Batu Arang – Isu penyakit bawaan vektor seperti denggi terus menjadi cabaran kesihatan awam di Malaysia, khususnya di kawasan perumahan berpenduduk padat. Menyedari kepentingan peranan komuniti dalam usaha pencegahan, sekumpulan pelajar Sarjana Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran dari Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam telah menganjurkan program Community Work: Aedes Awareness Day di Taman Kota Puteri, Batu Arang, Gombak, Selangor pada 17 Januari lalu.

Program yang berlangsung dari jam 7.00 pagi hingga 1.00 tengah hari ini melibatkan penyertaan seramai 12 orang pelajar serta kerjasama strategik bersama-sama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak. Kira-kira 150 orang penduduk Komuniti Seksyen 5 Kota Puteri turut mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang dirangka bagi meningkatkan tahap pengetahuan, kesedaran dan pelibatan masyarakat dalam pencegahan pembiakan nyamuk Aedes, vektor utama penyakit denggi.

Pelaksanaan program ini bertujuan untuk memperkukuh kefahaman komuniti mengenai hubungan antara kebersihan persekitaran, tingkah laku harian dan risiko penyakit bawaan nyamuk.

Pelbagai pendekatan pendidikan digunakan, termasuklah ceramah kesihatan, demonstrasi, pameran serta penggunaan bahan visual dan video interaktif yang disediakan khas untuk komuniti setempat. Pendekatan ini bukan sahaja menyampaikan maklumat, malah menggalakkan pembelajaran dua hala dan pelibatan aktif penduduk.

Tumpuan utama program ialah aktiviti mencari dan memusnahkan, iaitu satu pendekatan kawalan vektor yang menekankan pengenalpastian dan penghapusan lokasi berpotensi pembiakan nyamuk Aedes di kawasan perumahan. Aktiviti ini selari dengan strategi kawalan vektor kebangsaan yang mengiktiraf peranan komuniti sebagai barisan hadapan dalam memutuskan rantaian penularan denggi melalui amalan pencegahan berterusan.

Program dimulakan dengan sesi ceramah kesedaran denggi oleh pegawai PKD Gombak yang memberikan penerangan mengenai kitaran hidup nyamuk Aedes, tanda dan simptom denggi serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diamalkan pada peringkat isi rumah dan komuniti.

Penyampaian maklumat ini diperkukuh melalui pelancaran poster dan video kesedaran yang direka bentuk secara mesra komuniti yang berfungsi sebagai medium komunikasi berimpak tinggi untuk kegunaan berterusan.

Kemuncak program diteruskan dengan aktiviti gotong-royong yang melibatkan pelajar dan penduduk setempat. Aktiviti ini memberikan pendedahan secara praktikal dalam mengenal pasti bekas air bertakung, sisa buangan dan kawasan berisiko yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini secara tidak langsung membentuk rasa tanggungjawab bersama terhadap kebersihan dan kesihatan persekitaran.

Komitmen komuniti dalam aktiviti gotong-royong demi persekitaran yang bersih dan bebas Aedes.

Secara keseluruhannya, program ini menekankan pendekatan pendidikan interaktif, pelibatan komuniti dan perubahan tingkah laku yang mampan.

Program ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform kesedaran kesihatan awam, malah menjadi medium pembelajaran lapangan yang menghubungkan teori akademik dengan realiti sebenar pada peringkat komuniti.

Inisiatif ini membuktikan bahawa kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi, agensi kesihatan dan masyarakat setempat mampu menyumbang kepada pembentukan persekitaran kediaman yang lebih bersih, selamat dan berdaya tahan terhadap ancaman penyakit bawaan nyamuk, selari dengan aspirasi kesihatan awam negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi