Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPagoh – Simposium University in Action (UIA) Ke-8 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Gunasama, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh pada 16 Januari lalu, memperlihatkan keterserlahan kreativiti dan kemenjadian pelajar melalui pembentangan projek komuniti masing-masing.
Menerusi simposium ini, kreativiti pelajar terserlah melalui aktiviti penghiasan reruai yang memanfaatkan bahan terpakai dan sedia ada seperti kotak, botol plastik, ampaian baju, kain batik serta barangan unik seperti siput belitung hidup sehingga menarik perhatian pengunjung dan juri.
Sepanjang simposium tersebut, pelajar juga membuat persediaan rapi bagi pembentangan projek masing-masing dengan menggunakan slaid interaktif, animasi, graf data, lakonan ringkas serta klip video pendek untuk merumuskan pelaksanaan projek.
Selain permainan interaktif, pembentangan turut menggunakan pelbagai bahasa seperti bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina, sekali gus mencerminkan keupayaan komunikasi pelajar dalam konteks masyarakat majmuk.
Menurut pelajar jurusan bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarangbangsa dan juga wakil pembentang projek Tech-Q, Muhammad Ekhmal Hakeemy Sa’adon, cabaran utama yang dihadapi adalah mengawal perasaan gementar ketika berucap dengan menggunakan bahasa Inggeris di hadapan khalayak.
Katanya,
Walaupun pada mulanya berasa gugup, niat sebagai ibadah serta tanggungjawab mewakili kumpulan memberikan keyakinan kepada saya untuk tampil di pentas serta memberikan pembentangan yang terbaik.
Berdasarkan rekod, edisi kali ini menyaksikan pembentangan sebanyak 27 projek komuniti yang merangkumi 12 pelan cadangan projek dan 15 projek yang telah dilaksanakan.
Antara projek yang telah dilaksanakan termasuklah pendidikan berasaskan inovasi digital, pemeliharaan alam sekitar, pemerkasaan budaya dan sejarah tempatan serta pembangunan komuniti setempat yang melibatkan rumah kebajikan, masyarakat Orang Asli, warga emas dan murid sekolah.
Secara tidak langsung, simposium ini bukan sahaja menjadi platform pembentangan akademik, malah berperanan memupuk nilai keberanian, kerjasama, kreativiti dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar sebagai asas pembentukan graduan berkualiti dan berdaya saing.
