Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melancarkan dua laporan strategik utama negara, iaitu Laporan Ramalan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) 2025–2040 dan Laporan Indeks Inovasi Malaysia (MII) 2025 bagi memperkukuh ekosistem sains, teknologi dan inovasi negara berteraskan perancangan berasaskan data serta hala tuju jangka panjang.
Majlis pelancaran kedua-dua laporan tersebut disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang bersempena dengan Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 MOSTI yang berlangsung di MRANTI, Kuala Lumpur.
Menurut MOSTI dalam satu kenyataan, pelancaran kedua-dua laporan tersebut mencerminkan pendekatan baharu kerajaan dalam merangka perancangan STI negara berpaksikan data semasa melalui MII dan ramalan masa hadapan menerusi Laporan Ramalan STI sebagai asas pembentukan dasar yang progresif dan responsif terhadap perubahan teknologi global.
MOSTI memaklumkan kedua-dua penerbitan itu merupakan hasil kerjasama strategik dengan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) bagi meletakkan Malaysia dalam kelompok 20 negara terbaik dunia dalam Indeks Inovasi Global menjelang tahun 2030.
Menurutnya, MII 2025 berfungsi sebagai penanda aras nasional yang komprehensif untuk menilai tahap kesiapsiagaan, kekuatan serta jurang ekosistem inovasi negara pada peringkat negeri dan wilayah.
Jelasnya, laporan tersebut menyediakan gambaran objektif mengenai kapasiti inovasi semasa, keupayaan institusi dan industri, ketersediaan bakat dan infrastruktur serta tahap pemindahan teknologi dan pengkomersialan.
MOSTI berkata, sebagai garis asas yang diterbitkan secara dwitahunan, MII membolehkan kerajaan mengenal pasti jurang struktur inovasi antara negeri, menyasarkan intervensi dasar secara lebih tepat serta memantau impak dasar secara berterusan.
Menurut sorotan utama Laporan MII 2025, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatat skor tertinggi, iaitu 71.79, diikuti oleh Selangor (67.55) dan Pulau Pinang (58.69) sebagai tiga ekosistem inovasi paling matang di Malaysia.
Tambahnya, MII akan menjadi rujukan strategik kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam merangka dasar inovasi berasaskan kekuatan tempatan masing-masing.
MOSTI memaklumkan berpaksikan dapatan MII sebagai garis asas semasa, Laporan Ramalan STI 2025–2040 memberikan tumpuan kepada pembinaan kapasiti masa hadapan, khususnya dalam pembangunan bakat sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik bagi tempoh 15 tahun akan datang.
Jelasnya, laporan tersebut merangka keperluan bakat negara bagi tempoh tahun 2025 hingga tahun 2040 berdasarkan trajektori teknologi global, perubahan struktur ekonomi serta jurang kemahiran yang dikenal pasti.
Menurut MOSTI, sebanyak 10 bidang kemahiran utama termasuklah kecerdasan buatan dan teknologi data, keselamatan digital dan pertahanan siber serta kelestarian dan alam sekitar dikenal pasti sebagai pemacu utama ekonomi bernilai tinggi negara.
Katanya, sebanyak 121 strategi berimpak tinggi juga dirangka bagi menyelaraskan sistem pendidikan, latihan dan pembangunan bakat dengan keperluan industri masa hadapan serta sasaran daya saing global.
MOSTI berkata, secara keseluruhan MII menjawab persoalan kedudukan semasa negara, manakala Laporan Ramalan STI pula menentukan hala tuju serta kaedah untuk mencapainya.
Ujarnya, gabungan kedua-dua instrumen ini membolehkan perancangan STI negara dilaksanakan secara lebih berasaskan bukti, berpaksikan wilayah serta bersifat antisipatif dan adaptif dalam mendepani cabaran masa hadapan.
Menurut MOSTI, kedua-dua laporan ini dibangunkan oleh Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) dengan kerjasama strategik MIGHT bagi memperkukuh ekosistem sains, teknologi dan inovasi negara ke arah sebuah negara berteknologi tinggi yang inklusif, mampan dan berdaya saing pada peringkat global.