Diterbitkan pada 15 Januari 2026, 14:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Program STEM Innovation, Sustainability and Value Based Poster Initiative for Research and Education (STEM-INSPIRE) 2026 dilancarkan secara rasmi sebagai inisiatif untuk memperkukuh pembudayaan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) berteraskan kelestarian serta nilai kemanusiaan dalam kalangan mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis.

Pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Penyelaras Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran, Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Cawangan Perlis, Puan Nur Syafiqah Rahim bersempena dengan Majlis Makan Malam Persatuan SCIENCE X-SIS yang menghimpunkan mahasiswa Diploma Sains, pensyarah, alumni, rakan strategik dan tetamu undangan lain.

Program STEM-INSPIRE 2026 merupakan anjuran Persatuan SCIENCE X-SIS bersama-sama mahasiswa Diploma Sains susulan kejayaan penganjuran STEM-INSPIRE 2025 yang berjaya menarik penyertaan aktif mahasiswa, alumni dan masyarakat serta menerima maklum balas yang amat memberangsangkan.

Menurut Puan Nur Syafiqah Rahim, edisi STEM-INSPIRE 2026 akan dirangka dengan pelbagai program berimpak tinggi bagi menyokong empat elemen utama pendidikan tinggi pada masa ini, iaitu Education for Sustainable Development (ESD), Value-based Education (VbE), Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) dan STEM.

Puan Nur Syafiqah Rahim ketika berucap di Dewan Sivik Arau.

Ujarnya,

Program ini bukan sekadar platform pertandingan atau pameran poster, malah berfungsi sebagai ruang pembelajaran alternatif yang menggalakkan pemikiran saintifik, kreativiti serta kesedaran terhadap isu masyarakat dan kelestarian.

Beliau turut menjelaskan bahawa Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Cawangan Perlis menyokong sepenuhnya pelaksanaan STEM-INSPIRE 2026 kerana program ini memberikan nilai tambah kepada pembangunan mahasiswa dari sudut kemahiran penyelidikan, inovasi, pemikiran kritikal dan komunikasi sains.

Antara pengisian utama STEM-INSPIRE 2026 termasuklah pertandingan mencipta poster kreatif, program kesedaran mahasiswa, perkongsian kepakaran oleh pensyarah prolifik dan pakar bidang serta forum mahasiswa yang membincangkan isu ESD, VbE, SULAM dan STEM secara santai tetapi berimpak.

Program STEM-INSPIRE 2026 dilancarkan di Dewan Sivik Arau.

Program ini turut disasarkan untuk meningkatkan minat pelajar memilih bidang STEM pada peringkat ijazah, sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam usaha menambah bilangan graduan STEM negara.

Dalam usaha memperluas impak pendidikan, STEM-INSPIRE 2026 turut menekankan pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu melalui aktiviti mencipta slogan, potensi kerjasama bersama-sama Kelab Debat dan Pidato serta penghasilan karya sastera seperti sajak dan pantun bertemakan sains dan kelestarian.

Terdahulu, edisi STEM-INSPIRE 2025 menampilkan pelbagai program perkongsian ilmu merangkumi topik sains halal, kajian kanser, kelestarian alam sekitar serta program kesedaran berkaitan dengan isu Palestin.

Kejayaan edisi terdahulu dalam meningkatkan kesedaran dan minat mahasiswa terhadap sains serta isu kemanusiaan menjadi pemangkin kepada penganjuran STEM-INSPIRE 2026.

Majlis makan malam tersebut turut dihadiri oleh Penyelaras SULAM, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Abu Hassan Nordin yang menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan program ini kerana selari dengan konsep pembelajaran berasaskan khidmat kepada masyarakat.

Menurut beliau, pendekatan SULAM berperanan untuk menjalin kerjasama antara universiti dan komuniti dengan mengaplikasikan ilmu akademik pelajar bagi menyelesaikan keperluan setempat.

Beliau turut berpandangan bahawa pelibatan mahasiswa dalam program kesedaran dan khidmat komuniti dapat memupuk nilai empati, disiplin serta memperkukuh kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan.

YBrs. Dr. Abu Hassan Nordin ketika ditemu bual.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan SCIENCE X-SIS, Encik Muhammad Rosmizul Syukkri Mohd Suhaimi berkata, program STEM-INSPIRE memberikan impak positif terhadap pembangunan kemahiran teknikal dan insaniah mahasiswa.

Katanya,

Program seperti mereka bentuk poster dan slogan bukan sahaja merangsang kreativiti, malah membantu mengurangkan tekanan akademik serta memberikan pendedahan ilmu tambahan melalui perkongsian pensyarah.

Encik Muhammad Rosmizul Syukkri Mohd Suhaimi ketika menyampaikan ucapan di Dewan Sivik Arau.

Program STEM-INSPIRE 2026 dijadualkan berlangsung pada Mac 2026 selepas tamat peperiksaan akhir dan cuti semester dengan sasaran pelibatan mahasiswa yang lebih meluas serta kerjasama strategik daripada pelbagai pihak.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi